suria

MAS Tawar Promosi Hebat Destinasi Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) kini menawarkan tambang promosi bagi pembelian awal tiket penerbangan 'all-inclusive' untuk perjalanan ke lebih 41 destinasi di Asean, India, China, Asia Utara, Asia Selatan, Australia dan Eropah mulai esok hingga 12 Ogos.

Tawaran ini sah bagi perjalanan mulai 1 Ogos hingga 7 Nov.

Naib Presiden Kanan Serantau MAS bagi Malaysia dan Asean Muzammil Mohamad berkata pengembara akan dapat menikmati layanan bertaraf lima bintang syarikat itu sebelum menaiki pesawat dan dalam penerbangan semasa perjalanan tanpa henti mereka.

"Tambang, tertakluk kepada terma dan syarat, boleh didapati melalui semua saluran pengagihan utama kami agar pelanggan tidak terhad kepada waktu perniagaan biasa untuk melakukan pembelian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Bagi destinasi Asean, tambang pergi balik Kelas Ekonomi untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Medan ialah RM409, ke Jakarta RM529 , RM569 ke Ho Chi Minh City, RM609 ke Bangkok dan RM909 ke Manila.

Tambang pergi balik Kelas Perniagaan pula bermula serendah RM1,117 ke Medan, RM1,409 ke Singapura, RM1,619 ke Bangkok, RM1,679 ke Hanoi dan RM1,959 ke Phnom Penh.

Bagi destinasi terpilih, tambang bagi perjalanan pergi balik Kelas Ekonomi yang ditawarkan ialah RM899 untuk ke Hong Kong, RM1,199 ke Beijing, RM1,439 ke Chennai dan RM1,499 ke Perth.

Kelas Perniagaan pula menawarkan tambang pada kadar RM2,999 bagi perjalanan pergi balik ke Guangzhou, Xiamen, Kunming dan Hong Kong, RM3,019 ke Hyderabad dan Bangalore, RM4,599 ke Seoul, Tokyo dan Osaka serta RM6,479 ke Sydney, Melbourne, Brisbane dan Adelaide.

Promosi ini ditawarkan di semua saluran pengagihan syarikat penerbangan nasional itu seperti www.malaysiaairlines.com, pejabat tiket dan akaun Facebook MAS, pusat panggilan bebas tol 24 jam di talian 1-300-88-3000 serta semua ejen pelancongan yang dilantik di Malaysia. BERNAMA

Artikel Lain