suria

Lapan Pelacur Warga Vietnam Ditahan Dalam 'Ops Noda'

KUALA LUMPUR: Lapan wanita warga Vietnam dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran ditahan dalam serbuan di empat premis pusat hiburan di Serdang Perdana, Seri Kembangan dekat sini, malam Sabtu.

Kesemua wanita warga asing berusia antara 20 dan 30 tahun itu ditahan dalam Operasi 'Ops Noda' yang dijalankan secara bersepadu oleh Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang dan Majlis Perbandaran Subang Jaya, diketuai Inspektor Roslin Mohd Isa.

"Serbuan kira-kira 11 malam itu hasil maklumat awam dan risikan polis. Siasatan mendapati kesemua suspek wanita yang ditahan menyalahgunakan pas lawatan sosial," kata Roslin ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.

Turut ditahan lima lelaki warga tempatan dipercayai penjaga permis berkenaan. Menurutnya, kesemua suspek dibawa ke IPD Serdang untuk diambil keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan kerana menganjurkan pelacuran dan seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial serta seksyen 55(b) Akta Imigresen 1963 atas kesalahan mengambil atau menggaji seseorang yang tidak memiliki pas yang sah, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain