suria

Ijazah Palsu: Penjawat Awam Terlibat Akan Dikenakan Tindakan Tegas- KSN

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ali Hamsa (tiga kanan) ketika beramah mesra dengan pelajar-pelajar yang menerima bantuan sempena Majlis Sesi Bersama KSU dan Majlis Mangsa Kebakaran Kediaman Pelajar Malaysia di Iowa Amerika Syarikat di sini, Sabtu. Turut hadir bersama Ketua Pengarah Biro Tatanegara, Datuk Raja Arif Raja Ali (kanan). -Foto BERNAMA
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ali Hamsa (tiga kanan) ketika beramah mesra dengan pelajar-pelajar yang menerima bantuan sempena Majlis Sesi Bersama KSU dan Majlis Mangsa Kebakaran Kediaman Pelajar Malaysia di Iowa Amerika Syarikat di sini, Sabtu. Turut hadir bersama Ketua Pengarah Biro Tatanegara, Datuk Raja Arif Raja Ali (kanan). -Foto BERNAMA
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ali Hamsa (tiga kanan) ketika beramah mesra dengan pelajar-pelajar yang menerima bantuan sempena Majlis Sesi Bersama KSU dan Majlis Mangsa Kebakaran Kediaman Pelajar Malaysia di Iowa Amerika Syarikat di sini, Sabtu. Turut hadir bersama Ketua Pengarah Biro Tatanegara, Datuk Raja Arif Raja Ali (kanan). -Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mana-mana penjawat awam yang didapati terlibat dengan kegiatan pembelian ijazah secara tidak sah akan dikenakan tindakan tegas, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Bagaimanapun beliau mengesahkan setakat ini belum ada laporan mengenai penjawat awam terlibat dengan kegiatan itu.

"Sekarang ini polis sedang siasat, sekiranya ada pegawai atau kakitangan yang memperolehi ijazah ini secara tidak sah tindakan akan diambil. Bentuk tindakan…kita akan mengikut peraturan-peraturan sedia ada.

"Setakat ini belum ada laporan yang menyatakan penjawat awam terlibat. Jadi kita akan tunggu laporan daripada pihak polis mengenainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Transformasi Pegawai ke luar negara dan Majlis Penyerahan Bantuan kepada mangsa kebakaran kediaman pelajar Malaysia di Iowa, Amerika Syarikat di Akademi Kenegaraan pada Sabtu.

Baru-baru ini sebuah akhbar Bahasa Melayu membongkarkan kegiatan sindiket menjual sijil-sijil dan ijazah palsu bernilai hampir RM5 juta yang mula beroperasi sejak 2003.

Sindiket tersebut menjual sijil-sijil berkenaan secara dalam talian dengan menawarkan segulung ijazah sarjana muda pada harga RM6,500, sarjana RM8,500 dan doktor falsafah (PhD) RM10,500 dengan tambahan RM1,000 sebagai bayaran untuk menghadiri majlis konvokesyen.

Sindiket yang mendakwa kesemua sijil itu dikeluarkan oleh institusi pengajian tinggi swasta dikatakan akan bergabung dengan lima universiti yang dikenal pasti sebagai Universiti Rock Hampton dan Universiti Antarabangsa Harvey di Amerika Syarikat (AS) bersama-sama dengan Universiti Cannington Brook dan Universiti Glastonbury di United Kingdom serta Universiti Charles Molnar.

Dalam perkembangan lain, Dr Ali berkata seramai 117 pegawai yang akan ke luar negara untuk menyambung pengajian dalam program sarjana dan doktor falsafah.

"Kita berharap mereka akan jadi pelajar yang cemerlang sekaligus mengharumkan nama Malaysia di luar negara.

"Saya juga telah menasihatkan mereka supaya menjadi duta Malaysia di luar negara," katanya.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan sumbangan kewangan daripada sektor swasta sebanyak RM1,578 (USD500) kepada setiap penuntut yang terlibat dalam insiden kebakaran di sebuah blok pangsapuri di South Meadow Apartments, di Ames, Iowa, Amerika Syarikat, pada Ahad lepas.

"Ini merupakan susulan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyeru supaya pihak swasta mengambil bahagian di dalam aktiviti seperti ini sempena Ramadan mulia ini.

"Secara tidak langsung dapat menggandingkan pihak kerajaan serta swasta dalam menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat," katanya.

Dr Ali berkata kerajaan juga akan memberi bantuan kepada setiap penuntut terbabit berjumlah antara RM6,313 dan RM7,892 (USD2,000-USD2,500).

Menurutnya daripada 17 penuntut terbabit, 10 adalah penuntut tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), enam ditaja Mara manakala seorang penuntut persendirian. "Bantuan yang sama akan diberi kepada penuntut persendirian memandangkan keluarga penuntut itu menanggung beban yang sama seperti penuntut tajaan kerajaan," katanya.

Sejurus selepas kebakaran itu, katanya sebanyak RM13,132 (USD4160) dikumpul melalui kutipan derma Biro Agama dan Kebajikan Kedutaan Besar Malaysia, Washington, Pertubuhan Malaysian Islamik Study Group serta orang persendirian. "Kementerian Luar Negeri bersama agensi lain sentiasa memantau keadaan penuntut-penuntut tersebut serta memberi bantuan yang diperlukan mengikut keperluan masing-masing," katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri juga telah meminta Duta Khas ke Amerika Syarikat Datuk Seri Jamaludin Jarjis untuk menyelaras bantuan kepada penuntut terbabit.

Sementara itu, penuntut tajaan JPA Hazwan Izzuddin Hashim, 21, berasa amat bersyukur serta berterima kasih kepada pihak swasta yang tampil menghulurkan sumbangan kepada beliau dan penuntut lain.

"Syukur, ini merupakan rezeki Ramadan setelah saya menerima dugaan kerugian akibat kebakaran baru-baru ini," kata pelajar tahun dua jurusan Kejuruteraan Mekanikal itu.

Artikel Lain