suria

Peralatan Karaoke, Minuman Keras Dirampas Dalam Serbuan Di Pusat Hiburan

KOTA BHARU: Polis dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) merampas pelbagai peralatan karaoke bernilai RM100,000 dan menahan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di sini Khamis.

Pegawai Turus Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, ASP Nik Rosdi Nik Yahya berkata, serbuan dilakukan pada 11.45 malam di pusat itu yang terletak di Jalan Zainal Abidin, yang pernah diserbu lebih 10 kali sebelum ini.

"Pemilik pusat hiburan yang beroperasi secara haram itu boleh dianggap keras kepala kerana masih meneruskan kegiatannya walaupun pernah beberapa kali diserbu," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Menurut Nik Rosdi, ia turut menjual minuman keras dan pelanggan yang datang biasanya ditemani wanita berpakaian seksi.

"Selain menahan seorang lelaki, kita juga melakukan pemeriksaan terhadap 30 lelaki dan sembilan wanita yang berada di premis itu," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa MPKB, Ramly Che Hussein berkata, MPKB merampas semua minuman keras di pusat hiburan itu yang menjalankan perniagaan minuman keras tanpa lesen. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain