suria

Peniaga Nanas Maut Dirempuh Lori Ketika Sedang Berniaga

PASIR MAS: Seorang peniaga nanas maut akibat dirempuh lori tanah ketika dia sedang berniaga di tepi jalan di Km3, Kampung Gual Tinggi, Rantau Panjang dekat sini petang Jumaat.

Mangsa ialah Nik Mariam Nik Ja, 52, dari Kampung Gual Tinggi. Lori itu dikatakan dalam perjalanan dari Rantau Panjang ke Kota Baharu apabila kejadian berlaku kira-kira 1.15 petang.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Nasuha Ahmad Mijal berkata, lori itu dilaporkan dipandu dalam keadaan laju dan hilang kawalan sebelum ia terbabas dan merempuh gerai Nik Mariam.

Pemandu lori itu hanya mengalami cedera ringan dan mendapat rawatan di Klinik Kesihatan berhampiran, katanya.

Nasuha berkata, pihaknya mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah lori.

Mayat Nik Mariam telah dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan di tanah perkuburan di kampungnya, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain