suria

Mahasiswa Perlu Tingkat Kemahiran Untuk Kekal Kompetetif - Palanivel

CYBERJAYA: Enam ratus mahasiswa berketurunan India dinasihat mempamer prestasi seperti diharapkan dengan membina kepimpinan yang sewajarnya serta membangun keberkesanan peribadi untuk berada di depan dalam pengajian mereka selain merangsang prospek pekerjaan dan pendapatan.

Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel berkata ini boleh dicapai dengan mempamer prestasi cemerlang dalam pengajian serta pekerjaan mereka selain mengatasi semua jangkaan dengan bekerja keras, menunjukkan kebijaksana dan kepimpinan yang baik.

"Orang muda mestilah bebas, justeru, mereka akan menjadi lebih berkuasa untuk menentukan masa depan mereka. Kepimpinan peribadi ialah apabila anda mempunyai kebolehan mengatur dan memimpin orang lain," katanya ketika berucap pada sesi dialog dengan mahasiswa dari pelbagai universiti di seluruh negara di Universiti Limkokwing pada Sabtu.

Sesi dialog itu sebahagian daripada Sidang Kemuncak Pelajar India 1Malaysia anjuran Pergerakan Pelajar India 1Malaysia (1MISM) yang berlangsung selama tiga hari.

Turut hadir Presiden 1MISM D. Mahaganapathy, pengasas dan presiden Universiti Limkokwing Profesor Emeritus Tan Sri Dr Lim Kok Wing, Ketua Pemuda MIC T.Mohan serta timbalannya, V.Mugilan. Palanivel, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, menyeru mahasiswa terbabit agar menjadi penyokong kuat MIC pada masa akan datang.

"Saya pasti ramai daripada anda akan menjadi pemimpin parti jika anda berada di haluan yang betul, iaitu dengan menjadi model peranan kepada negara," katanya.

Pada sesi dialog itu, antara cadangan yang diketengahkan pelajar ialah keperluan sekolah elit bagi mengatasi masalah sosial di kalangan komuniti India, memperkenal pendidikan agama di sekolah, pengurangan pembiayaan serta peluang kemasukan di institut latihan perguruan.

Sementara itu, Mahaganapathy berkata acara itu memfokus kepada konsep 3E iaitu Education, Employment and Empowerment (Pendidikan, pekerjaan dan Pemerkasaan) yang dikenal pasti sebagai elemen terpenting pembangunan komuniti India era ini.

"Visi kami ialah untuk mengeluarkan mahasiswa yang boleh dipasarkan di Malaysia, melibatkan diri dalam perkhidmatan kepada masyarakat untuk pencapaian sepanjang hayat, dan memastikan mereka di landasan betul untuk berkhidmat kepada negara dengan lebih baik," katanya.

Sidang kemuncak itu dilancarkan semalam oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain