suria

Lima Keluarga Tinggal Sehelai Sepinggang Rumah Musnah Dalam Kebakaran

KOTA BAHARU: Kira-kira 20 orang daripada lima keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila empat pintu rumah separuh papan dua tingkat hangus dalam kebakaran di Jalan Wakaf Mek Zainab di sini.

Semasa kejadian pada 5.45 petang Jumaat, kebanyakan penghuni tiada di rumah dan ada yang sedang memasak untuk persiapan berbuka puasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu Mohd Sabri Ismail berkata tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku dalam kejadian itu.

Empat jentera Bomba dan Penyelamat bersama 22 anggota yang diketuai beliau berjaya mengawal api daripada merebak ke bangunan berhampiran dalam masa 15 minit.

"Ketika bomba sampai, 90 peratus bangunan tersebut telah hangus terbakar dan kebanyakan penghuni gagal menyelamatkan perabot dan barangan lain, mereka hanya tinggal sehelai sepinggang," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata anggaran awal kerugian dialami mangsa kebakaran itu kira-kira RM70,000. Punca kebakaran masih disiasat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain