suria

Karpal Singh Jadikan Pertuduhan Hasutan Dihadapinya Sebagai Isu Pada PRU-13

GEORGE TOWN: Pengerusi DAP Karpal Singh berkata beliau akan menjadikan pertuduhan hasutan yang dihadapinya sebagai satu isu pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

"Pilihan raya umum semakin dekat, biar rakyat putuskannya," katanya.

Karpal Singh berkata Peguam Negara sepatutnya menarik balik pertuduhan terhadap dirinya dan pemimpin Parti Hak Asasi Manusia P.Uthayakumar, kerana Akta Hasutan 1948 tidak lagi relevan berikutan pemansuhannya.

Pada 11 Julai, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan memutuskan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan menggantikannya dengan Akta Harmoni Nasional.

"Pengumuman penting telah dibuat (mengenai pemansuhan Akta Hasutan) tetapi tiada sokongan bona fide mengenai perkara itu dengan menarik balik pertuduhan terhadap saya dan Uthayakumar," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Karpal Singh dituduh mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak tiga tahun lepas.

Katanya perbicaraan ditetapkan untuk bersambung semula Jumaat depan 3 Ogos.

"Saya telah mengemukakan permohonan atas alasan pertuduhan terhadap saya tidak mengikut Perlembagaan dan bercanggah dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak kepada perlindungan yang samarata di sisi undang-undang," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain