suria

Dua Remaja Lelaki Maut Nahas Kereta & Bas

KUANTAN: Dua remaja lelaki maut selepas kereta Perodua Viva yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Km37 Jalan Kuantan-Kemaman dekat Sungai Baging di sini, awal pagi Sabtu.

Kedua-dua mangsa yang maut di tempat kejadian ialah pemandu kereta terbabit, Che Wan Muhammad Hafizuddin Che Wan Abdullah, 17, dan rakannya, Mohd Shafawie Ismail, 16, kedua-duanya berasal dari Kijal, Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata dalam kejadian pukul 2 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari arah Kemaman menuju ke Kuantan.

Manakala bas ekspres tersebut yang membawa 25 penumpang dalam perjalanan dari Kuantan ke Kota Baharu, Kelantan.

"Apabila tiba di tempat kejadian, kereta yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan selepas melanggar lopak air lalu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas terbabit. "Akibat itu, kereta mangsa terperosok di bawah bas terbabit dan pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng mengambil masa empat jam untuk mengeluarkan mayat mereka," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa tidak memiliki lesen memandu yang sah.

"Kita juga percaya, mangsa yang memandu laju gagal mengawal kenderaan akibat permukaan jalan yang licin berikutan hujan," katanya.

Beliau berkata pemandu bas berusia 48 tahun dan semua penumpang tidak mengalami kecederaan dalam insiden tersebut.

Mohd Jasmani berkata kes itu masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain