suria

Syarikat Dibenar Rekrut Tenaga Profesional Malaysia Di Luar Negara

PUTRAJAYA: Kerajaan kini membenarkan syarikat-syarikat membuat permohonan untuk merekrut kalangan tenaga profesional Malaysia di luar negara di bawah Program Kepulangan Pakar (REP).

Faktor tersebut akan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara untuk kembali ke tanah air dan membantu memacu Program Transformasi Ekonomi (ETP) negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Sebelum ini, permohonon untuk REP hanya dibuat oleh mana-mana individu yang merancang untuk pulang ke Malaysia.

"Perubahan ke arah permohonan REP oleh majikan adalah sejajar dengan pendekatan yang didorong permintaan dan industri yang diterajui oleh Kerajaan untuk ETP," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa REP ke-7 di sini, Khamis.

Beliau berkata, lebih ramai golongan profesional Malaysia di luar negara akan kembali ke tanah air dengan wujudnya peluang menarik dan ETP menunjukkan hasilnya.

Tahun lalu, 680 permohonan sudah diluluskan.

"Dengan kira-kira baki enam bulan lagi untuk tahun ini, kami optimis lebih 1,000 permohonan akan diluluskan.

"Setakat ini, 512 sudah diluluskan, satu indikasi dalam kejayaan ETP.

"Peningkatan dalam kelulusan REP menunjukkan tahap keyakinan tinggi di kalangan tenaga pakar Malaysia di luar negara terhadap masa depan ekonomi di negara ini," kata Nor.

Nor berkata, Talent Corporation Malaysia Bhd mengambil alih pentadbiran REP, 18 bulan lalu dan menguruskan sebanyak 1,192 permohonan.

Di antara 2001 dan 2010, sebelum TalantCorp mengambil alih pentadbiran bagi program tersebut, hanya 1,130 diluluskan.

Artikel Berikut

Artikel Lain