suria

Suspek Pecah Rumah Di Subang, Dipercayai Warga Argentina

KUALA LUMPUR: Polis telah mengenalpasti identiti empat suspek warga asing yang cuba menyamun sebuah rumah di Jalan 18/2A, USJ 21, Subang Jaya di sini malam Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Supt Tan Ah Chua berkata suspek dipercayai warga Argentina berumur 40-an yang telah lama menetap di Malaysia menggunakan pas lawatan sosial.

"Kita telah memeriksa rumah suspek di Mentari Court selepas kejadian tetapi kesemua mereka telah melarikan diri," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat.

Tan berkata polis merampas beberapa barang seperti komputer riba dan telefon bimbit yang dipercayai hasil curi dari rumah suspek.

Dalam kejadian 9.25 malam tadi, empat lelaki terbabit melarikan diri selepas melihat kereta peronda polis tiba di pekarangan rumah teres dua tingkat tersebut yang telah dipecah masuk.

Menyentuh mengenai penggunaan kereta mahal seperti kereta jenis Toyota Estima untuk menyamun, Tan tidak menolak kemungkinan suspek menyewa kereta yang mahal untuk mengaburi mata orang ramai tentang kegiatan mereka. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain