suria

Polis Tahan Dua Lelaki, Tumpas Sindiket Curi Kenderaan Mewah

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki tempatan dan menemui semula lima kereta mewah bernilai lebih setengah juta ringgit yang dicuri dalam tangkapan di Puchong dan Seremban, minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras, Mohan Singh Tara Singh berkata suspek yang tidak bekerja itu ditahan kira-kira 4 petang pada 17 dan 18 Julai oleh pasukan khas curi kenderaan Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata susulan penahanan lelaki itu, polis berjaya menemui semula dua buah Toyota Hilux dan serta sebuah Toyota Fortuner, Toyota Alphard dan Toyota Wish, disyaki dicuri di Damansara, USJ, Kajang, Cheras dan Jalan Campbell, Seremban.

"Suspek pertama berusia 45 tahun dari Kuala Lumpur, ditahan pada Selasa lepas di Bandar Kinrara, Puchong kerana disyaki terlibat dengan beberpa kes kecurian kereta mewah di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lepas," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Mohan Singh berkata siasatan ke atas suspek membawa kepada penahanan seorang lagi rakannya yang berusia 28 tahun, yang dipercayai turut terlibat dalam kes berkenaan sehari selepas itu di rumahnya di Seremban.

"Sindiket ini sangat licik kerana mampu mengubah suai alat kawalan jauh untuk 'mengganggu' sistem penggera kereta, sekaligus menyebabkan frekuensi panggera kereta tersebut lumpuh, menjadikan kereta itu tidak berkunci biarpun pemiliknya telah menekan kunci kawalan jauh," katanya.

Beliau berkata walaupun pihaknya percaya tangkapan ke atas dua-dua suspek berkenaan berjaya menyelesaikan 21 kes curi kenderaan, tetapi polis masih meneruskan siasatan dan pemburuan ke atas mereka yang dikaitkan dengan sindiket tersebut.

Polis juga masih menyiasat motif sindiket itu sama ada kereta mewah yang dicuri itu akan dijual ke luar negara atau sebaliknya, kata beliau.

Mohan Singh berkata tangkapan ke atas suspek di Seremban turut membawa kepada penemuan 33 keping cukai jalan palsu, dipercayai digunakan untuk melarikan kereta yang dicuri dan polis sedang mengenal pasti dalang yang membekalkan cukai jalan itu.

Katanya selain itu beberapa barang lain turut dirampas daripada kedua-dua suspek, iaitu sekotak spanar pelbagai saiz, 'allen key', pisau, mesin gerudi, enam alat kawalan enjin jenis Toyota Denso, satu set alat khas memprogram kunci kereta, empat 'smart tag' dan dua kad 'Touch'n Go'.

"Tahanan reman ke atas kedua-dua suspek yang berakhir hari ini akan disambung ke satu tarikh baru untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A, 411 dan 414 Kanun Keseksaan," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain