suria

Mahkamah Tinggi Tangguh Perbicaraan Kes Bunuh Sosilawati

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan sementara perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain berikutan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan.

Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian ketika kes itu disebut di hadapannya hari ini.

Penangguhan adalah bagi menunggu keputusan rayuan empat tertuduh, NPathmanabhan, T Thilaiyalagan, R Matan dan R Khatavarayan terhadap keputusan Akhtar yang mengetepikan sapina yang dikeluarkan oleh mereka terhadap tiga timbalan pendakawa raya (DPP) dalam kes itu, supaya tampil sebagai saksi.

Akhtar berkata tarikh sambung bicara akan ditetapkan kemudian selepas rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.

Pathmanabhan, bekas peguam dan tiga pekerja ladang, Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan, telah diperintah membela diri atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44. Mereka didakwa melakukan pembunuhan itu di Ladang Gadong, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos, 2010.

Semalam, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin sebulat suara membenarkan permohonan dibuat oleh empat tertuduh bagi perintah penangguhan sementara perbicaraan.

Pada Isnin lepas (23 Julai), Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan empat tertuduh itu untuk mensapina DPP Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd. Ghani, untuk tampil sebagai saksi.

Langkah pihak pembelaan itu adalah bagi mengetepikan dua eksibit yang dikemukakan oleh tiga DPP berkenaan pada akhir kes pendakwaan untuk mencabar kebolehpercayaan dua saksi pendakwaan, U Suresh dan K Sarawanan.

Ini berikutan eksibit berkenaan, iaitu nota prosiding membabitkan kes Suresh dan Sarawanan yang didakwa atas kesalahan melupuskan bukti berkaitan kes pembunuhan itu, telah dikemukakan di mahkamah oleh tiga DPP berkenaan dan mereka juga terlibat dalam prosiding kes membabitkan Suresh dan Sarawanan di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting.

Suresh, 28, dan Sarawanan, 21, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain