suria

Lelaki Cuba Larikan Kereta Di Pusat Cuci Kereta Ditahan

SEREMBAN: Polis menahan seorang lelaki yang cuba melarikan sebuah kereta di pusat cuci kereta di Bandar Seremban Selatan dekat sini, Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Hamdan Majid berkata dalam kejadian pada pukul 3.58 petang itu, pemilik kereta berkenaan meninggalkan kunci kereta di dalam Toyota Hilux miliknya semasa menghantar kenderaan itu untuk dicuci.

"Sebuah kereta lain datang dan seorang lelaki yang keluar dari kereta itu terus masuk ke dalam Toyota Hilux itu dan cuba melarikannya. Namun pada masa sama pemilik kereta yang berumur 30-an masuk melalui pintu sebelah kiri dan berjaya menangkap lelaki itu dengan bantuan orang awam dan polis," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata siasatan mendapati kereta Myvi yang ditinggalkan suspek yang berumur 23 tahun dari Melaka itu adalah kereta yang dilapor hilang di Klang, Selangor.

Lelaki itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Hamdan berkata seorang pegawai polis berpangkat Inspektor berumur 32 tahun yang didakwa mencederakan dua pekerja sebuah hotel di Seremban 2 dan merosakkan dua kereta akan dituduh di mahkamah Isnin ini.

Pegawai polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban itu kini ditahan kerja, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain