suria

Dua Stor Sari Musnah Dalam Kebakaran Di George Town

GEORGE TOWN: Dua stor kain sari di Lebuh Penang di sini musnah dalam kebakaran pada Jumaat, dengan kerugian dianggar ratusan ribu ringgit.

Pengarah Bomba Pulau Pinang Azmi Tamat berkata kejadian pukul 10.24 pagi itu melibatkan bahagian atas dua premis dua tingkat yang berjiran dan menjalankan perniagaan sari.

"Kebakaran bermula di bahagian atas yang menempatkan stok barangan itu, dan merebak ke bangunan yang sebelah lagi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata api merebak pantas kerana material kain yang sangat mudah terbakar, menyebabkan anggota bomba memunggah keluar semua kain terbabit bagi memastikan api dapat dipadam sepenuhnya.

Tiga jentera bersama 31 anggota bomba dihantar ke tempat kejadian dan kebakaran dapat dikawal dalam tempoh setengah jam.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain