suria

Dakwaan Tiket Bas Sempena Hari Raya Habis Hanya Khabar Angin – SPAD

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyifatkan dakwaan kononnya tiket bas bagi musim perayaan Aidilfitri tahun ini sudah habis dijual hanyalah merupakan khabar angin.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, setakat ini suruhanjaya itu tidak mendapat sebarang aduan mengenai kehabisan tiket bas.

Ini kerana katanya, SPAD sudah pun membuka permohonan Lesen Perubahan Semasa (LPS) untuk tambahan perkhidmatan bas lebih awal iaitu sejak 16 Julai lalu dan hanya berakhir pada 10 Ogos depan.

“Kita tidak menerima aduan yang tiket bas untuk balik raya dah habis. Sekarang permohonan (LPS) hanya dalam 1,000 lebih sahaja. Kita buka sehingga 2,000 permohonan.

“(Dakwaan) mereka bercerita tanpa fakta. Tahun lepas pun tiada masalah kerana kita buka awal-awal dan kita beri LPS. Orang ramai jangan percaya khabar angin kerana tiket bas untuk sambutan Hari Raya masih ada,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa SPAD bersama media di sini, Khamis.

SPAD sebelum ini membuka permohonan LPS kepada syarikat bas yang ingin menggunakan bas sekolah, bas pekerja, bas catar, bas henti-henti dan bas persiaran sebagai perkhidmatan bas ekspres berikutan permintaan tinggi orang ramai sempena musim perayaan.

Syed Hamid berkata, SPAD tidak akan memberi LPS kepada bas yang usianya lebih daripada 15 tahun manakala bas yang berusia antara tujuh dan 15 tahun tidak boleh beroperasi melebihi 340 kilometer.

“Dan bas perlu berhenti untuk setiap empat jam perjalanan dan baru boleh sambung. Kita adakan peraturan-peraturan baru,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sekiranya memang benar terdapat masalah orang ramai untuk mendapatkan tiket, ia kemungkinan disebabkan oleh ‘ulat tiket’.

“Jika benar, mungkin ‘ulat tiket’ dah beli tiket-tiket ini. Dan sekiranya memang ada masalah (ulat tiket), itu kita akan siasat,” kata beliau.

SPAD mengambil inisiatif untuk membuka tarikh permohonan LPS lebih awal bagi membantu pengusaha merancang dengan efektif perkhidmatan bas ekspres mereka, sekali gus memastikan perkhidmatan tidak terjejas pada musim perayaan.

Suruhanjaya itu dijangka menerima sebanyak 2,000 permohonan LPS tahun ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain