suria

Bukan Kerana Tak Layak Tapi Kerana Ramai Lagi Yang Lebih Layak

KEMASUKAN ke program ijazah sarjana muda di universiti-universiti awam tempatan baru sahaja diumumkan.

Kesemua pelajar baru akan mula mendaftar September ini.

Daripada beribu calon yang mendapat tempat, terdapat berpuluh-puluh ribu lagi yang menderita dan kecewa kerana gagal mendapat tempat.

Ramai yang datang mengadu kepada penulis mengapa anak mereka tidak diterima masuk sedangkan mereka memenuhi syarat-syarat kelayakan untuk mengikuti sesuatu program itu.

Jawapan penulis ialah layak sahaja kini tidak lagi memadai. Layak mestilah dengan cemerlang.

Maknanya, mereka yang memohon tetapi tidak mendapat tempat bukan kerana tidak layak tetapi kerana ramai lagi yang lebih layak daripada mereka.

Ada juga yang tidak mendapat tempat kerana kursus yang mereka pilih itu menjadi rebutan ramai.

Misalnya kursus perubatan, farmasi, kejuruteraan, kewangan, komunikasi massa, perakaunan dan aktuari sains.

Malah ada juga yang tidak mendapat tempat kerana mereka tersalah pilih kursus - iaitu mereka lebih layak untuk kursus lain tetapi memohon untuk memasuki kursus yang mereka kurang layak.

Tetapi dalam kes yang agak terpencil ada juga yang tidak mendapat tempat bukan kerana mereka kurang layak tetapi kerana mereka memilih untuk memohon hanya satu pilihan kursus sahaja.

Golongan ini adalah golongan tekad. Tekad untuk hanya memohon misalnya perubatan sahaja. Jika tidak ditawarkan program ini mereka enggan menerima program-program lain.

Ketika memohon, mereka berkeyakinan penuh yang mereka akan diterima masuk.Malangnya mereka tidak sedari, jumlah yang lebih layak juga berlonggok-longgok.

Dan apabila berita yang diterima adalah "dukacita permohonan anda ditolak..." mereka kecewa, marah dan melontarkan kemarahan mereka itu menerusi media.

Tetapi ketika menceritakan kekecewaan mereka kepada media, mereka tidak menceritakan dengan habis kenapa mereka tidak mendapat tempat.

Yang akan terpampang keesokan harinya ialah "Pelajar 10A1 Tidak Mendapat Tempat Di Universiti Awam".

Sebahagian besarnya tidak cakap mengapa mereka tidak mendapat tempat. Mereka tidak memberitahu yang mereka hanya memutuskan untuk memilih satu kursus sahaja ketika mengisi borang permohonan.

Mereka juga tidak memberitahu yang mereka telah menolak untuk ditawarkan kursus-kursus lain selain kursus yang mereka pohon itu.

Dalam kategori ini, terdapat lebih kurang 600 kes calon yang memperolehi CGPA 4.0 tetapi telah ditolak permohonan mereka baru-baru ini.

Sebahagian besarnya adalah kerana mereka hanya memutuskan untuk memohon hanya satu kursus sahaja.

Mereka tidak memberi pilihan kepada Unit Pusat Universiti (UPU) untuk ditawarkan pilihan kedua, ketiga, keempat dan seterusnya jika kursus pilihan pertama mereka telah memenuhi kuota.

Dalam satu kes yang berasingan pula, ada seorang bapa yang anaknya ditawarkan program ijazah sarjana muda biologi di UiTM Perlis mahu supaya pihak universiti mengubah tawaran itu kepada program farmasi.

Sudah pastinya permintaan ini sukar untuk dipenuhi bukan kerana satu sebab tetapi kerana pelbagai sebab.

Pertama kerana, pihak universiti perlu mengambil kira kualiti calon-calon yang memohon untuk mengikuti program farmasi setiap tahun semakin meningkat.

Kedua, jumlah yang memohon untuk mengikuti program farmasi jauh melebihi tawaran.

Ketiga, jika permintaan seperti ini perlu dilayan, ia akan menjadi satu urusan yang tiada kesudahan kerana esok atau lusa atau tulat, akan ada pula ibu bapa pelajar lain yang datang ke UiTM dan minta supaya anak mereka juga ditukarkan ke program pilihan peribadi.

Nasihat penulis satu sahaja, terimalah program yang ditawarkan seadanya. Ini kerana anak anda merupakan salah seorang daripada segelintir yang bernasib baik kerana mendapat tempat.

Dalam pertemuan penulis dengan Naib Canselor UiTM, Profesor Dr Ir Datuk Sahol Hamid Abu Bakar baru-baru, beliau memaklumkan, di universitinya sahaja, jumlah yang memohon untuk mengikuti program ijazah sarjana muda tahun ini telah mencecah 60,000 orang.

Bagaimanapun katanya, tempat yang mampu ditawarkan oleh UiTM hanyalah sekadar 6,900 sahaja.

Itu pun katanya, UiTM mampu menawarkan tempat yang tinggi kerana boleh dikatakan ia kini memiliki kampus cawangan di seluruh negara.

Itu baru di UiTM. Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula, Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Zaini Ujang berkata, mereka telah menerima 34,000 permohonan.

Bagaimanapun hanya 2,800 sahaja yang terpilih untuk mengikuti pengajian ijazah sarjana muda.

Daripada jumlah itu, katanya, 500 calon adalah lepasan diploma manakala 2,300 lagi lepasan matrikulasi dan STPM.

Malah Dr Zaini berkata, kualiti kesemua pelajar yang diterima masuk ke UTM kali ini adalah terdiri daripada mereka yang mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.71 dengan 450 daripada mereka mencapai gred penuh 4.00.

Lihatlah betapa sengitnya persaingan untuk memasuki universiti-universiti awam kini. Layak sahaja sudah tidak memadai lagi. Layak mestilah dengan cemerlang.

Artikel Berikut

Artikel Lain