suria

Bayi Lapan Bulan Didera Kekasih Ibu Dilapor Kritikal

KUANTAN: Bayi lelaki berusia lapan bulan yang dipercayai didera teman lelaki ibunya, kini dilapor dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Mohamad Adam Mikhail Abdullah dimasukkan ke unit berkenaan sejak Rabu dan dilapor mengalami pecah usus dipercayai akibat hentakan kuat selain mengalami bengkak hati serta lebam-lebam di kepala.

Ibunya, Norhidayah Ahmad, 22, berkata beliau juga dimaklumkan pihak hospital bahawa anaknya itu sudah menjalani pembedahan pada Khamis.

"Doktor memberitahu terdapat kesan sepakan dan tumbukan di perut selain lebam di belakang badan," katanya di sini, Khamis.

Menurut laporan akhbar pada Khamis, bayi itu dipercayai didera kekasih ibunya yang berusia 19 tahun ketika ibunya itu keluar bekerja di sebuah tapak ekspo di hadapan Terminal Makmur, di sini.

Kejadian tersebut hanya disedari Norhidayah selepas beliau pulang ke rumah sewanya itu pada 3 pagi Isnin lepas.

Ibu tunggal terbabit kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada pukul 10 malam Selasa lepas, sebelum suspek ditahan sejam selepas itu.

Sementara itu, Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata suspek kini ditahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2010.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek juga didapati positif dadah jenis syabu," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain