suria

Program 6P: 19,161 PATI, 494 Majikan Ditahan Setakat Ini - KDN

KUALA LUMPUR: Sebanyak 19,161 pendatang tanpa izin dan 494 majikan ditahan di bawah peringkat penguatkuasaan Program 6P setakat ini, sejak proses itu dilaksana Oktober lepas.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Rahim Mohammad Radzi berkata sepanjang tempoh itu juga sebanyak 189,765 pendatang tanpa izin yang terbabit dalam peringkat pengampunan telah meninggalkan negara ini.

Warga Indonesia mencatatkan bilangan paling tinggi iaitu 111,344 orang, diikuti Nepal (16,352), India (13,349), Myanmar (11,926), Kemboja (8,201), Bangladesh (6,949), Vietnam (6,254), Pakistan (3,436), Filipina (3,428), China (2,989) dan Sri Lanka (2,334), katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bakinya melibatkan rakyat Thailand, Nigeria, Iran, Somalia, Sudan dan negara-negara lain, katanya.

Abdul Rahim berkatasejumlah 592,421 pendatang tanpa izin daripada 109,635 majikan telah diputihkan di bawah program itu.

Beliau turut menegaskan kementerian itu tidak pernah melantik mana-mana syarikat untuk melakukan Proses Pendaftaran Semula Pendatang Asing Tanpa Izin dan menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan pihak yang mengaku melaksanakan langkah tersebut dan mengutip bayaran.- BERNAMA

Artikel Lain