suria

Pelajar Warga Nigeria Dipenjara Lapan Bulan Kerana Tipu Pegawai Bank

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Nigeria pada Khamis dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan termasuk menipu seorang pegawai bank membabitkan wang lebih RM15,000.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin turut memerintahkan Nwafor Chinonso Innocent, 26, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 9 Julai lepas.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhi hukuman penjara lapan bulan, lima bulan bagi pertuduhan kedua dan tujuh bulan, masing-masing bagi pertuduhan ketiga dan keempat.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak iaitu lapan bulan.

Bagi pertuduhan pertama, Nwafor, yang merupakan pelajar di sebuah kolej swasta, didakwa menipu Intisyam Mat Sharip dengan menyamar sebagai Donald Anthony, yang memiliki pasport Afrika Selatan, bagi melakukan transaksi pengeluaran wang berjumlah RM15,423.24.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di RHB Bank, Jalan Mega Mendung, Batu 4 1/2, Jalan Klang Lama, Brickfields di sini pada 11.20 pagi, 9 Julai lepas, mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, Nwafor didakwa memasuki Malaysia tanpa pas atau permit yang sah, mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (pindaan 1997) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta yang sama.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada 2.45 petang, 13 Julai lepas.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa menggunakan cop keselamatan imigresen Malaysia yang palsu dalam pasport Afrika Selatan atas nama Andrew Scott dan Donald Anthony, mengikut Seksyen 56(1)(l)Akta Imigresen 1959/1963 (pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 56(1)(aa) akta yang sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di RHB Bank, Jalan Mega Mendung, Batu 4 1/2, Jalan Klang Lama, Brickfields di sini antara 11.20 pagi dan 11.40 pagi, 9 Julai lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S.Malini Anne manakala tertuduh diwakili peguam M. Tharuma Ratnam. - BERNAMA

Artikel Lain