suria

BN Tidak Perintah Secara Populis - PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mampu meletakkan asas kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan jika mengamalkan pemerintahan yang bersifat populis, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kegagalan menyediakan asas berkenaan dan hanya mengejar sokongan serta populariti rakyat akan menyebabkan segala bantuan tidak dapat disalurkan secara berterusan.

"Untuk janjikan sesuatu sangat mudah. Tabur janji bukan sukar tetapi yang mencabar ialah sama ada pemberian kepada rakyat tidak jejaskan ekonomi, sebaliknya dapat menjamin ekonomi terus berkembang di samping boleh terus bantu dan bela rakyat secara berpanjangan.

"Inilah falsafah di sebalik pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika berucap pada majlis iftar bersama rakyat negeri Selangor di tapak Masjid Al-Mustaqim, Taman Nirwana di sini pada Rabu.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib berkata tanpa mengamalkan sifat populis, kerajaan BN mampu mengolah dasar yang boleh menggalakkan pertumbuhan ekonomi secara mampan dan sihat.

Katanya dengan mencetuskan punca serta menambah kekayaan kepada negara, pelbagai sumbangan boleh terus diberi kepada rakyat termasuklah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Kalau main hulur, berapa lama dapat bertahan? Jawabnya tak lama.

"Kalau berbelanja tanpa fikir mana punca tambah pendapatan, bukit yang tinggi pun boleh jadi tanah mendatar," katanya.

Menyentuh isu air yang berlaku di Selangor, Najib secara sinis menempelak kerajaan negeri Selangor kerana tidak mampu menyelesaikan masalah air di negeri itu.

"Masalah seperti ini kerajaan BN mampu selesaikan. Masanya akan tiba bila rakyat Selangor boleh pilih kerajaan yang mampu selesaikan soal air, kutipan sampah sarap dan meletakkan kemakmuran kepada negeri Selangor," katanya.

Pada majlis itu, Najib menyampaikan cek bernilai RM2 juta bagi pembangunan Masjid Al-Mustaqim kepada pengerusi jawatankuasa pembinaan masjid tersebut Datuk Abdul Wahab Adam.

Perdana Menteri juga menyerahkan cek sumbangan bernilai RM1.45 juta bagi masjid dan surau di seluruh Selangor kepada Koordinator BN negeri Datuk Seri Mohd Zin Mohamed.

Sejumlah 100 ibu tunggal dan orang kurang upaya menerima sumbangan RM100 seorang.

Perdana Menteri dan isteri kemudiannya berbuka puasa bersama kira-kira 3,500 hadirin sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah di Surau Al-Islamiyah, Taman Nirwana.

Mereka kemudiannya ke Surau Taman Seri Angsana Hilir, Pandan untuk menunaikan solat Isyak dan solat Tarawih. BERNAMA

Artikel Lain