suria

Satu Lagi Parti Politik Akan Muncul...

KHABARNYA, akan muncul sebuah lagi parti politik baru di Negeri Sabah tidak lama lagi yang akan diterajui oleh sekumpulan pemimpin etnik Kadazandusun.

Mereka juga khabarnya mahu bekerjasama dengan pakatan pembangkang.

Dikenali sebagai Barisan Pembaharuan Sabah atau SRF iaitu Sabah Reform Front, penubuhannya dikatakan bakal diumumkan secara rasmi di Dalit, Tuaran, Ahad ini.

Pada masa yang sama, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilaporkan akan hadir dalam satu perhimpunan khas di Tuaran pada tengah hari Ahad.

Anwar khabarnya mempunyai jadual yang ketat di Sabah hujung minggu ini.

Dan khabarnya juga Tuaran dan Beaufort adalah dua kawasan di mana SRF akan beroperasi dan mendapat sokongan.

Penulis: Tidak sesuai jadi orang politik...

EMPAT KALI KENA SAMUN...

Seorang peniaga aluminium di Jinjang Selatan di sini yang disamun buat kali keempat dalam tempoh 20 tahun, meminta polis meningkatkan rondaan di kawasan itu.

Peniaga berkenaan, Phaang Jing Fatt, 34, berkata, dalam kejadian terbaru Ahad lepas, beliau kerugian kira-kira RM10,000 selepas kedainya dipecah masuk dan barangan serta sebuah skuter dilarikan penjenayah.

"Saya menyedari kejadian itu semasa ingin memulakan perniagaan," katanya pada sidang media yang dianjur Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Aawm Gerakan Wilson Lau Hoi Keong, pada Rabu.

Phaang yang mewarisi perniagaan itu daripada ayahnya, berkata kehadiran lebih kerap pasukan keselamatan di situ perlu bagi mengurangkan rasa bimbang masyarakat.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan mengesahkan kepada Bernama yang pihak polis telah menerima laporan tersebut.

Mengulas mengenai permintaan penduduk yang mahukan rondaan lebih kerap, Zakaria berkata, polis akan melakukan rondaan mengikut fokus 'kawasan panas' terlebih dahulu.

"Kita akan memberikan tumpuan kepada 'kawasan panas' yang kerap berlaku jenayah. Kawasan itu kita akan lebih tingkatkan rondaan, namun tidak bermaksud kawasan yang kurang berlaku jenayah kita tidak fokus," katanya.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif diwujudkan polis daerah Sentul bagi mengurangkan jenayah seperti meningkatkan rondaan kereta peronda, rondaan bermotosikal dan mewujudkan pondok pengawal di 'kawasan jenayah'.

Walau apa sekali pun tindakan dan program yang dilancarkan oleh pihak polis, penulis sarankan, aduan rakyat sepertimana Phaang Jing Fatt harus diberi keutamaan dan perhatian khusus.

Penulis bimbang dan khuatir, jika tidak dipedulikan, mangsa rompakan seperti Phaang ini akan melepaskan rasa amarahnya itu melalui kertas undi.

Penulis: Marah kadang kala tidak bersebab...

BILA ISTERI TINGGALKAN SUAMI

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong memaklumkan, sehingga kini pihaknya telah menerima 21 laporan kes isteri warga asing meninggalkan suami warga tempatan mereka.

Beliau berkata, jumlah itu dicatatkan sejak tahun lepas dengan 15 kes daripadanya melibatkan warga Vietnam, dan selebihnya warga China, Thailand dan Indonesia.

"Sepuluh daripada kes membabitkan warga Vietnam itu melibatkan tindakan isteri lari balik ke negara asal dengan membawa anak bersama," katanya. Dalam usaha membantu pihak pengadu, Michael berkata biro itu memerlukan kerjasama kedutaan negara berkenaan serta ejen pencari jodoh berkenaan.

Katanya, satu kes dapat diselesaikan hasil bantuan ejen pencari jodoh.

Sementara itu, seorang pemandu lori yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 38, yang membuat aduan hari ini berkata, dia kehilangan anak berusia dua tahun apabila isterinya, Nguyen Thi Vi, 24, seorang warga Vietnam tidak kembali ke Malaysia setelah pulang ke negara asalnya pada 14 Jun lepas.

Lim yang berasal dari daerah Matang, Perak berkata, Nguyen yang dikahwininya tiga tahun lepas telah meminta izin untuk pulang ke Vietnam bersama anak mereka atas alasan hendak melawat keluarga dan menyambut pesta 'dumpling' di sana.

"Bagaimanapun pada 11 Julai lalu isteri saya menghubungi saya dan menyatakan yang dia tidak akan balik lagi ke Malaysia, tanpa memberi sebarang sebab dan alasan," katanya lagi. Lim berkata, isterinya itu sepatutnya pulang ke negara ini pada 13 Julai lepas.

Penulis pada mulanya ingin melihat isu ini sebagai satu isu terpencil tetapi apabila terdapat sampai 21 laporan yang dibuat, kelihatan pula macam ada satu paten di sini.

Satu pertanyaan yang timbul dalam diri penulis ialah, apakah wanita-wanita ini mahu berkahwin dengan warga tempatan kerana memerlukan (1) perlindungan dan tempat tinggal sementara (2) mahukan kesenangan hidup dan (3) mahu memperolehi 'lesen' untuk bermastautin lebih lama di negara ini.

Apakah setelah memperolehi apa yang mereka hajati (termasuk wang ringgit dan anak), mereka mencari jalan dan helah untuk kembali ke negara asal.

Ada baiknya juga mana-mana agensi atau jabatan yang berkenaan melakukan satu siasatan dan mencari punca agar rakyat kita tidak lagi berasa tertipu atau teraniaya.

Penulis: Hanya ada rakan dari luar negara...

Artikel Lain