suria

Polis Tumpas Geng Pecah Rumah Di Johor Baharu

JOHOR BAHARU: Polis menumpaskan satu geng pecah rumah dengan penahanan tiga orang termasuk seorang wanita di sebuah rumah di Taman Desa Jaya, Seri Alam di sini, malam Selasa.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata mereka yang berumur antara 29 hingga 31 itu ditahan pada 10.45 malam dan dipercayai terlibat dengan sekurang-kurangnya enam kes pecah rumah di sekitar kawasan Wilayah Iskandar.

"Dalam serbuan itu polis merampas sebuah kereta yang sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan Setia Indah.

"Turut dirampas pelbagai barangan lain dipercayai hasil curi seperti televisyen, 32 utas jam tangan, 16 buah telefon bimbit, 12 beg duit wanita, sembilan unit komputer riba dan tiga unit pemain dvd selain beberapa peralatan untuk pecah rumah serta sebilah parang," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka kini ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menumpaskan satu sindiket samun yang didalangi oleh warga Indonesia dengan penahanan tiga lelaki bersenjata tiga bilah parang di Jalan Benang 9, Ulu Tiram di sini pada pagi Isnin lepas.

Ekoran penahanan kira-kira 5 pagi itu, polis menahan lapan lagi warga Indonesia termasuk lima wanita berumur antara 32 hingga 50 tahun hasil serbuan di sebuah rumah di Jalan Dedap 30, Taman Johor Jaya, Seri Alam di sini.

"Kita turut merampas dua bilah parang, satu pemotong dan dua utas gelang dan satu rantai emas, sembilan buah telefon bimbit, dua unit komputer riba, dan tiga utas jam tangan pelbagai jenama," katanya.

Menurutnya kesemua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Dalam perkembangan lain, Mokhtar berkata bermula 18 Julai lalu, polis Johor menubuhkan satu pasukan khas yang dianggotai oleh 80 anggota polis untuk menangani masalah jenayah jalanan.

"Pasukan ini akan berpakaian seperti orang awam akan melakukan tugas risikan, melaksanakan operasi dan menumpaskan jenayah bagi memastikan negeri ini aman tanpa jenayah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain