suria

Pekerja Pasar Mini Warga Indonesia Bebas Tuduhan Cabul

KLANG: Seorang pekerja pasar mini warga Indonesia dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini daripada tuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun pada September tahun lepas, tanpa dipanggil membela diri.

Majistret Azlinda Mohd Sharif membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap kes Muntasir, 24.

Seramai lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan. Muntasir didakwa melakukan perbuatan itu di Pasar Mini Samudera, Lot 1849, Kampung Sungai Pinang, Tanjung Syawal, Jalan Kapar, di sini antara 3 petang dan 3.30 petang pada 27 September 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya Shahrul Ekhsan Hasim sementara Muntasir diwakili peguam Rasshidi Syed. - BERNAMA

Artikel Lain