suria

Muhyiddin Lawat Sabah Sabtu Ini

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual melawat Sabah pada Sabtu ini.

Menurut kenyataan Jabatan Penerangan Sabah pada Rabu, beliau dijadual melakukan tinjauan mesra di Bazar Indah Permai di Sepanggar, dekat sini sejurus tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Jamek, Kampung Likas selepas itu, Muhyiddin akan merasmikan Anjung Ilmu masjid berkenaan serta menyampaikan zakat kepada warga emas, ibu tunggal dan saudara baru.

Turut diadakan pada majlis itu, penyampaian kunci rumah kepada pemilik rumah Projek Perumahan Rakyat (PBR) dan penyampaian sumbangan kepada Masjid Jamek oleh beberapa tokoh korporat yang keseluruhannya bernilai RM70,000.

Pada siri lawatan Muhyiddin ke negeri-negeri sempena Ramadan ini, beliau turut mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan air zam-zam dan buah kurma kepada anggota jawatankuasa masjid berkenaan sebelum berlepas pulang ke ibu negara. - BERNAMA

Artikel Lain