suria

Kesatuan Minta Syabas Kekal Syarikat Konsesi Air

SHAH ALAM: Seramai 170 orang anggota Kesatuan Pekerja-Pekerja Perbadanan Urus Air Selangor Berhad (KPPPuas) berhimpun secara aman di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, meminta Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kekal sebagai peneraju konsesi air di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

Presidennya, Abdul Aziz Ali berkata, Syabas perlu dikekalkan menerajui pembekalan air terawat di negeri ini dan menyatakan masalah sebenar yang berlaku bukan berpunca daripada masalah pengurusan sebaliknya kekurangan bekalan air terawat.

“Penyelesaian masalah ini bukan bermotifkan ambil alih tetapi penyediaan loji (Langat 2) untuk menyediakan air terawat.

“Walaupun pengurusan ditukar tetapi jika loji rawatan tidak ada, masalah sama juga akan berlaku,” katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Menurutnya, kerajaan negeri bertanggungjawab menyediakan tapak pembinaan untuk pembangunan infrastruktur air.

Ketika ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa Syabas mensabotaj air terawat di negeri ini, Abdul Aziz menegaskan, kawasan Lembah Klang ialah kawasan membangun dan permintaan air terawat sangat tinggi.

“Permintaan bekalan air terawat tidak mencukupi untuk diagihkan kerana loji rawatan terhad sedangkan pengguna bertambah dari semasa ke semasa, ini yang menjadi punca kesulitan ini.

“Kita usulkan loji baru dibina untuk menampung air terawat untuk diagihkan kepada pengguna sekurang-kurangnya 20 peratus rizab air terawat,” katanya.

Puas yang juga anak syarikat Syabas sepakat menyatakan pendirian mereka mahu Syabas dikekalkan dan menegaskan permasalahan yang timbul bukan berpunca daripada Syabas tetapi kekurangan loji untuk merawat air mentah kepada air bersih.

Dalam perhimpunan itu, wakil Puas menyerahkan satu memorandum bantahan pengambilalihan Syabas oleh Kerajaan Negeri kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang diterima oleh Setiausaha Akhbarnya, Tuan Nazuri Tuan Ismail.

Ketika mendengar penjelasan mengenai kandungan memorandum tersebut, Tuan Nazuri mencadangkan Syabas mengadakan sesi dialog dengan kerajaan negeri bagi mencapai kata sepakat berhubung isu air ini.

Artikel Lain