suria

Jenayah Kanak-Kanak & Wanita Agenda Utama GTP Fasa II

KUALA LUMPUR: Menangani isu jenayah melibatkan kanak-kanak dan wanita akan menjadi antara agenda utama dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) Fasa Kedua, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet KDN pada Rabu.

"Saya telah maklumkan kepada Kabinet, di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk pelaksanaan seterusnya, kanak-kanak dan wanita merupakan antara agenda utama yang akan ditekankan untuk kurangkan jenayah.

"Hari ini kita tengok isu kanak-kanak dan wanita memerlukan pendekatan yang mungkin berbeza dengan pelaksanaan GTP sebelum ini. Pelaksanaan kali ini akan turut melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang sebelum ini tidak terlibat dalam GTP," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di Pusat Aktiviti Kanak-kanak Chow Kit, di sini.

Hishammuddin berkata, selain itu, golongan muda daripada beberapa program kesukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) akan turut membantu pelaksanaan GTP fasa kedua.

"Kabinet telah memutuskan, kita boleh serapkan golongan muda daripada 1Malaysia Youth For You (iM4U), Skuad Muda Kementerian Dalam Negeri (KDN), badan bukan kerajaan (NGO), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan juga ikon-ikon tertentu untuk membantu kita," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata mesyuarat Kabinet turut memberi kebenaran untuk beliau menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan China berkaitan isu pemerdagangan manusia.

"Minggu depan saya akan ke Beijing, China untuk menandatangani MOU tersebut dengan rakan sejawatan di China. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini untuk menangani isu pemerdagangan manusia, kita perlu ada hubungan dengan tiga kategori negara iaitu, negara transit, negara sasaran dan negara punca.

"Kita sudah lama mengadakan perbincangan dengan China, dan kini kita akan buat secara hitam putih menerusi MOU ini," katanya.

Hishammuddin berkata selain isu pemerdagangan manusia, beliau akan turut berbincang mengenai isu keganasan, penyeludupan dadah, perkara berkaitan pengubahan wang haram dan juga isu militan. - BERNAMA

Artikel Lain