suria

Dua Maut, Dua Cedera Dalam Kemalangan Di Perak

IPOH: Dua terbunuh manakala dua lagi cedera apabila kereta yang mereka naiki merempuh sebuah lori di Km 13 Jalan Teluk Intan-Hutan Melintang, Selasa.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Goh Kok Liang berkata mereka yang terbunuh ialah pemandu kereta Chai Wei Tack, 19, dan L.Kumaran, 26, manakala P. Sukumaran, 29 dan K. Raman, 20, masing-masing cedera ringan.

"Chai dan Kumaran yang mengalami cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Besar Teluk Intan untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Rabu.

Beliau berkata mangsa yang cedera turut dirawat di hospital berkenaan.

Goh berkata kejadian berlaku pada pukul 7.30 malam apabila kereta yang dalam perjalanan dari Hutan Melintang ke Teluk Intan itu merempuh lori yang terbalik selepas terbabas akibat bergesel dengan sebuah kereta lain.

Kereta yang dipandu Chai yang mengekori lori itu gagal berhenti lalu merempuh kenderaan berkenaan. Pemandu lori itu hanya cedera ringan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain