suria

Buku Irshad Manji: 31 Julai Pendengaran Kebenaran Semakan Kehakiman

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menetapkan 31 Julai untuk mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh syarikat penerbitan buku terjemahan Irshad Manji 'Allah, Kebebasan dan Cinta' terhadap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Hakim Datuk Rohana Yusuf menetapkan tarikh tersebut di dalam kamar dengan dihadiri peguam pihak pemohon, K. Shanmuga dan Peguam Kanan Persekutuan Noor Hisham Ismail.

Noor Hisham memberitahu pemberita bahawa pihaknya membangkitkan bantahan awal terhadap permohonan ZI Publications Sdn Bhd dan pengarahnya, Mohd Ezra Mohd Zaid.

Katanya, bantahan tersebut dibuat atas alasan bahawa hanya Mahkamah Persekutuan yang mempunyai kuasa mengisytiharkan sama ada Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang digunakan dalam penyiasatan terhadap Mohd Ezra, sah ataupun tidak.

"Kami menghujah bahawa keputusan untuk mencabar itu tidak tertakluk di bawah semakan kehakiman. Kita tidak boleh memeriksa semula proses penyiasatan yang dilakukan pihak berkuasa," katanya.

Syarikat ZI Publications dan Mohd Ezra Mohd Zaid menfailkan permohonan penyemakan kehakiman itu pada 9 Julai lepas.

Kedua-dua pihak itu menamakan Jais, Ketua Pengarahnya, Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Selangor, Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Kerajaan Selangor dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara lain mereka memohon perintah certiorari bagi membatalkan tindakan pegawai Jais yang menggeledah, merampas dan menyita 180 buku pada 29 Mei lepas di premis perniagaan ZI Publications, B-2-19, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, PJU 3, Petaling Jaya, Selangor.

Mereka juga memohon agar semua buku setebal 388 muka surat yang disita itu dikembalikan. Selain itu, kedua-dua pihak itu memohon perintah certiorari bagi membatalkan tangkapan bertarikh 29 Mei lepas dan pendakwaan oleh Jais terhadap Mohd Ezra.

Mereka turut memohon satu pengisytiharan bahawa Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berhubung penyiasatan terhadap Mohd Ezra adalah terbatal dan tidak sah memandangkan ia tidak konsisten dengan Artikel 10(1)(a) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

(Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan adalah berkaitan dengan soal kebebasan bercakap, berhimpun, berpersatuan, mengeluarkan pendapat/bersuara) - BERNAMA

Artikel Lain