suria

BN Selangor Bidas Kerajaan Negeri Gagal Dedah Pelan Tindakan Selesai Krisis Air

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor pada Selasa menyelar kerajaan negeri pimpinan PKR-DAP-PAS yang sehingga kini masih gagal mendedahkan pelan tindakan bagi menyelesaikan krisis bekalan air di negeri ini.

Koordinator BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata kerajaan Selangor masih terus berdolak dalih dan sengaja memanjangkan isu dengan menjadikan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) sebagai sasaran untuk mengelirukan rakyat berhubung isu air itu.

"Kita masih menanti sehingga hari ini apakah pelan yang akan dilakukan oleh kerajaan negeri bagi menangani krisis air di Selangor malah Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim secara terbuka mengakui tiada pelan khusus untuk menyelesaikan isu ini," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan pek berbuka puasa kepada orang ramai di Stesen Komuter Shah Alam di Seksyen 19 di sini.

Mohd Zin turut mempersoalkan mengapa kerajaan Selangor hanya menyerang Syabas berhubung isu air sedangkan syarikat lain seperti Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) yang turut bertanggungjawab merawat air langsung tidak dibangkitkan.

Beliau berkata kedua-dua syarikat itu adalah pembekal dan penyelia air terawat yang kemudiannya dibeli oleh Syabas sebelum disalurkan kepada pengguna.

"Jadi mengapa mereka serang Syabas? Jelas tindakan mereka bersifat politik sedangkan isu yang perlu diberikan perhatian ialah jumlah bekalan air terawat yang semakin berkurangan pada masa kini," katanya.

Mohd Zin turut mempersoalkan adakah tindakan kerajaan Selangor mahu mengambil alih Syabas dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan air.

Pada Isnin, Jawatankuasa Kabinet Khas Mengenai Isu-isu Air Selangor menolak cadangan kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih pengurusan Syabas kerana kerana kerajaan negeri itu tidak mematuhi beberapa perkara dalam perjanjian konsesi, termasuk membenarkan kenaikan tarif air.

Jawatankuasa itu memutuskan bahawa Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) akan diteruskan dan tawaran dibuka dalam tempoh sebulan akan datang.

Pada masa sama, Exco Kerajaan Selangor Dr Xavier Jayakumar pula menegaskan kerajaan negeri akan tetap meneruskan rancangannya untuk mengambil alih pengurusan air daripada Syabas.

Katanya kerajaan negeri juga bersedia mengadakan referendum untuk rakyat negeri itu membuat keputusan bagi menyelesaikan masalah itu. - BERNAMA

Artikel Lain