suria

Polis Tahan Empat Suspek Guna Kad Kredit Palsu

KUALA KANGSAR: Polis menahan empat suspek yang menggunakan kad kredit palsu untuk membeli petrol.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Gaffar Muhamad berkata, empat suspek yang berusia di antara 25 hingga 42 tahun ditahan di dua stesen minyak berasingan pada 22 Julai kira-kira pukul 3.30 pagi.

"Kumpulan pertama dua suspek dari Kedah dan Perlis itu cuba mengepam 400 liter petrol yang berharga RM720 menggunakan kad kredit palsu itu.

"Operator minyak di stesen itu menyedari sesuatu yang mencurigakan pada transaksi tersebut dan menghubungi polis," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata, kumpulan suspek kedua dari Pulau Pinang ditahan berhampiran stesen minyak berdekatan beberapa minit kemudian.

Abdul Gaffar berkata, keempat-empat suspek dipercayai dari sindiket sama dan melakukan transaksi menyalahi undang-undang itu di Bukit Gantang, dekat Taiping sebelum datang ke sini.

Katanya, kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek ditahan reman sehingga 25 Julai ini.

Artikel Lain