suria

Pengundi Diberi Peluang Kedua

PETALING JAYA: Pengundi yang enggan mengundi menggunakan dakwat kekal akan dibenarkan untuk membuang undi seperti biasa sekiranya mereka berubah fikiran.

Prosedur tersebut adalah antara langkah yang dikekalkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memperkenalkan penggunaan dakwat kekal buat pertama kali pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar terdapat 12 juta pengundi dan suruhanjaya itu terpaksa membuat persediaan awal mengenai apa jua senario yang mungkin berlaku justeru mereka menyediakan pelbagai prosedur untuk berurusan dengan mereka.

“Ada sesetengah pengundi yang tiba di pusat pengundian namun mereka mungkin tidak mahu jari mereka dicap dengan dakwat kekal kerana mereka sengaja hendak menguji undanh-undang. Mereka boleh membawa perkara itu ke mahkamah kemudian.

“Ada juga yang akan mengatakan mereka keberatan kerana takut dakwat yang digunakan oleh menyebabkan reaksi alergi atau merosakkan gilap kuku mereka,” kata Wan Ahmad.

“Tidak ada masalah mereka boleh balik dan fikirkan tentang itu. Jika mereka berubah fikiran dalam tempoh pengundian antara pukul 8 pagi hingga 5 petang, kami akan menandakan jari mereka dan membenarkan mereka membuang undi,” katanya.

Menurut buku panduan SPR mengenai dakwat kekal, kertas undi tidak akan dikeluarkan jika pengundi tidak membenarkan jari mereka ditanda atau gagal menunjukkan jari masing-masing kepada kerani pengundian untuk mengesahkan bahawa tiada tanda dakwat kekal sedia ada.

Pegawai yang bertugas akan merekodkan insiden itu dalam satu borang dan pengundi akan dibenarkan untuk pergi.

Jika dia kembali setelah mengubah fikirannya, dia akan dibenarkan untuk mengundi.

Sekiranya berlaku perbalahan antara pengundi dan kerani pengundian berhubung status seorang pengundi jarinya mempunyai kesan dakwat kekal, maka pegawai yang bertugas di pusat pengundian tersebut akan dipanggil untuk membuat keputusan muktamad.

Artikel Lain