suria

Pemandu, Lima Penumpang Bas Cedera Dalam Kemalangan Dengan Treler

JASIN: Seorang pemandu dan lima penumpang sebuah bas ekspres cedera selepas kenderaan itu merempuh belakang sebuah treler 37 tan di KM188.8 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran hentian Kampung Bemban di sini, petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata pemandu bas berkenaan Hamdan Arif, 52, cedera parah di kaki kiri selepas tersepit antara stereng bas dan belakang treler selama lebih dua jam akibat rempuhan itu.

"Walaupun tersepit, mangsa dalam keadaan sedar serta masih boleh bercakap dan dia yang kini dirawat di Hospital Melaka berada dalam keadaan stabil," katanya kepada pemberita ketika dihubungi di sini, Selasa.

Beliau berkata tiga penumpang iaitu dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 22 dan 25 tahun hanya mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan manakala dua lagi penumpang meneruskan perjalanan ke ibu negara dengan menaiki bas lain daripada syarikat yang sama.

Dalam kejadian pada 4.45 petang itu, bas dan treler dengan muatan biji sawit kedua-duanya dalam perjalanan dari Kluang, Johor dengan treler terbabit sedang menuju ke Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Bagaimanapun, pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya. Muhd Nur Hishamuddin berkata punca kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Pegawai Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat Melaka, Rasidi Md Yunos berkata pihaknya menerima panggilan pada 4.53 petang dan tiba di lokasi kemalangan 15 minit kemudian.

Beliau berkata pemandu bas yang tersepit dikeluarkan pada 6.59 petang dengan bantuan 16 anggota dari Balai Bomba Jasin, Ayer Keroh dan Bukit Katil.

Pemandu treler, Mat Saad Hashim, 38, berkata ketika kejadian, trelernya berada di laluan kiri dan bergerak perlahan melalui jalan berbukit di lokasi kejadian sebelum kedengaran bunyi dentuman yang kuat.

"Saya tergamam, panik dan terus berhenti tapi tidak keluar dari kenderaan sehingga penumpang bas tersebut datang dan memberitahu kejadian itu kepada saya," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain