suria

Pekerja Ladang Diperintah Bela Diri Miliki & Lupus Wang Culik

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja ladang kelapa sawit pada Selasa diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga tuduhan memiliki wang tebusan dan melupuskan sebahagian wang hasil penculikan membabitkan RM468,600, dua tahun lepas.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap R. Kanduraju, 46.

Mahkamah turut menetapkan dua hari bermula 8 Ogos untuk Kanduraju membela diri.

Kanduraju dari Kuala Langat, Selangor didakwa memiliki sebahagian daripada wang tebusan sebanyak RM30,000 bagi penculikan seorang lelaki berusia 66 tahun di persimpangan Jalan Hujan Emas, Bukit OUG di sini pada pukul 8.50 pagi, 16 Jun 2010.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di stesen minyak Shell, Sungai Pelek di Kuala Langat, pada pukul 11.30 pagi, 27 Jun 2010.

Bagi pertuduhan kedua, Kanduraju didakwa memiliki sebahagian daripada wang tebusan sebanyak RM400,000 bagi penculikan mangsa yang sama di sebuah rumah di Taman Desa Jasmin, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan pada pukul 7 malam, 28 Jun 2010.

Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh melupuskan sebahagian wang tebusan sebanyak RM38,600 kepada P. Gunalan, 40, di perhentian selepas Plaza Tol Senawang, Negeri Sembilan pada pukul 10.30 malam, 26 Jun 2010.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Kanduraju didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Culik 1961 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa raya Shashitah Mohd Hanifa manakala tertuduh diwakili peguam M. Manoharan. -BERNAMA

Artikel Lain