suria

Lebih 50 Pekerja Cemas, Kilang Ais Kiub Alami Kebocoran Gas

BUTTERWORTH: Lebih 50 pekerja beberapa buah kilang di Kawasan Perindustrian Kecil di Sungai Lokan di sini cemas apabila sebuah kilang memproses ais kiub yang terletak berdekatan tempat kerja mereka mengalami kebocoran gas amonia.

Dalam kejadian pada kira-kira 8 pagi Isnin, pekerja kilang berkenaan bertindak meninggalkan kawasan berkenaan bagi mengelak terhidu gas berbahaya itu dan kejadian yang tidak diingini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Prai Azelan Hassan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pekerja kilang ais kiub itu pada pukul 8.04 pagi.

"Sebaik tiba di lokasi kita mendapati hampir keseluruhan premis terbabit dipenuhi gas amonia bagaimanapun ia (gas amonia) belum merebak ke luar," katanya ketika dihubungi di sini Isnin.

Katanya hasil tindakan pantas 26 anggota bomba Prai dan Butterworth termasuk lima anggota dari unit Pasukan Khas Tindakan Bahan Berbahaya (Hazmat) kebocoran gas itu dapat dikawal sepenuhnya setengah jam kemudian.

"Siasatan awal mendapati kebocoran gas itu berpunca daripada salah satu penutup balang yang menjadi tempat simpanan gas berkenaan tidak ditutup rapat," katanya.

Azelan berkata semasa kejadian terdapat enam pekerja di premis berkenaan dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat keluar menyelamatkan diri.

Katanya siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Lain