suria

Dua Warga Iran Dihukum Gantung Edar Dadah Di KLIA

SHAH ALAM: Dua lelaki warga Iran dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi pada Selasa selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine yang diikat pada kaki mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati kedua-dua tertuduh, Ali Jalayeridarbandi Mousa, 26, dan Vahid Aliakbarsadeghabadi Abbas, 29, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Ahmadi berkata kedua-dua tertuduh gagal mematahkan dakwaan bahawa mereka mengedar dadah berkenaan dengan cara mengikatnya di kaki masing-masing.

Beliau berkata pembelaan kedua-dua tertuduh bahawa dadah berkenaan adalah untuk kegunaan sendiri juga tidak disokong oleh keterangan saksi di mahkamah.

"Justeru hanya satu hukuman di bawah kesalahan ini iaitu mereka dijatuhi hukuman gantung sampai mati," katanya.

Sebaik keputusan dibacakan, seorang anggota keluarga tertuduh yang berada di galeri awam dilihat menangis teresak-esak.

Ketika dibawa keluar dari mahkamah, seorang daripada tertuduh bertindak mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah kepada jurugambar yang merakam wajah mereka.

Ali, seorang tukang kasut, didakwa mengedar methamphetamine seberat 203.9 gram manakala Vahid, seorang jurutera didakwa mengedar dadah jenis sama seberat 269.6 gram.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan pemeriksaan penumpang 1 (CPP1), Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Utama, KLIA, pada 3.45 petang 12 Dis 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Enam saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Kastam Diraja Malaysia Rozanna Abd Hadi sementara Ali diwakili peguam Leonard Anselm Gomes dan Vahid diwakili peguam Datuk N. Sivananthan. - BERNAMA

Artikel Lain