suria

Polis Tahan Empat Lelaki, Rampas Dadah Bernilai RM72,000

ALOR SETAR: Polis Kedah menahan empat lelaki dan merampas lapan bungkus dadah dipercayai jenis heroin seberat 3.63 kg bernilai RM72,000, dalam serbuan di Bandar Aman Jaya, Sungai Petani, Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Superitendan Abd Razak Md Zin berkata, semua suspek yang berusia antara 19 dan 31 tahun itu berasal dari Sungai Petani dan bekerja sebagai buruh serta penjaga rumah ibadat.

"Polis turut merampas telefon bimbit, kereta dan motosikal yang diguna suspek dan kita turut menyiasat akaun bank suspek serta harta lain yang dimiliki mereka," katanya pada sidang media, di sini Ahad.

Katanya, ketika serbuan pukul 7 malam itu, semua suspek dalam perjalanan untuk mengedar dadah di kawasan tersebut.

Beliau berkata, kumpulan tersebut dipercayai aktif mengedar dadah di kawasan berkenaan sejak tiga bulan lepas.

"Siasatan awal mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan turut negatif ujian air kencing," kata Abd Razak.

Katanya, semua suspek ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain