suria

AMK Serah Memorandum Bantah Syabas Catu Air Di Selangor

SHAH ALAM: Kira-kira 100 ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK), bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan demonstrasi aman di hadapan Wisma Rozali bagi mendesak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menghentikan catuan air di negeri itu.

Naik Ketua AMK, Azmizam Zaman Huri berkata, memorandum tersebut diserahkan bagi membantah cadangan pencatuan air oleh Syabas, sekali gus mendesak kerajaan negeri mengambil alih operasinya.

"AMK Selangor juga mengalu-alukan semua parti politik serta NGO dan badan tidak berkepentingan untuk menyertai 'Demo Bantahan Kegagalan Syabas' bagi memberi satu tekanan supaya mereka segera menyerahkan operasi urus tadbir air kepada kerajaan negeri Selangor dan tidak lagi bermain tarik tali dengan menyusahkan kehidupan rakyat terutama ketika Ramadan dan menjelang Syawal," katanya kepada pemberita sebelum menyerahkan memorandum bantahan kepada Syabas di sini, Isnin.

Demo tersebut bermula pada pukul 12.15 tengah hari dan berakhir kira-kira setengah jam kemudian.

Kumpulan berkenaan turut membawa kain rentang yang tertera tulisan seperti, 'PSM Sokong Kerajaan Negeri Ambil Alih Syabas' dan 'Syabas Jangan Ugut Rakyat Selangor, Kembalikan Hak Air Kepada Selangor'.

Mereka berarak kira-kira 800 meter dari pintu belakang menuju ke pintu utama Wisma Rozali di Seksyen 13 di sini, untuk menyerahkan memorandum berkenaan.

Memorandum bantahan itu diserahkan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kepada Pengarah Eksekutif bahagian Pengurusan dan Sumber Manusia Syabas, Ismail Hashim.

Turut serta, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat, Zuraida Kamaruddin, Ahli Dewan Undagan Negeri (Adun) Sri Medan, Suhaimi Shafie dan Adun Kg Medan, Haniza Talha.

Kira-kira 10 anggota polis daripada cawangan Seksyen 13 Shah Alam turut ditempatkan bagi mengawal keadaan.

Mereka turut dibantu oleh 20 polis bantuan daripada Puncak Niaga

Antara perkara yang terkandung dalam memorandum tersebut ialah:

1)Bantahan cadangan program catuan air oleh Syabas.

2)Desakan menyerahkan operasi air terawat kepada kerajaan negeri Selangor.

3)Perkhidmatan Syabas yang tidak memuaskan. 4)Kedudukan kewangan Syabas yang membimbangkan.

5)Kerajaan Selangor lebih cekap mengendalikan operasi air terawat.

6)Berhenti mensabotaj kerajaan Selangor.

7)Menolak projek Langat 2.

Sementara itu, Shuhaimie yang juga Ketua Penerangan PKR Selangor, mendakwa Syabas cuba mensabotaj kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.

"Kita minta kerajaan negeri suntik wang dan beli Syabas. Tindakan segera perlu diambil kerana Syabas cuba mensabotaj kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Tindakan segera perlu kerana Syabas cuba memburukkan kerajaan negeri," katanya.

Menariknya, perhimpunan 'anti-Syabas' ini diadakan pada hari ketiga Ramadan, langkah yang jarang dilakukan sebelum ini.

Kerajaan negeri sebelum ini bercadang memecat Pengerusi Eksekutif, Tan Rozali Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan kerana gagal memberikan penjelasan berhubung catuan air yang diumumkan syarikat itu baru-baru ini.

Artikel Lain