suria

MAS Perkenal Tambang Promosi Ke Kathmandu

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) akan memperkenalkan perkhidmatan terus tiga kali seminggu antara Kuala Lumpur dan Kathmandu bermulai 1 September dengan tambang promosi bagi laluan itu.

Naib Presiden Kanan Wilayah Malaysia dan Asean Muzammil Mohamad berkata langkah untuk memperkenalkan Kathmandu kepada jaringan MAS menerima sambutan menggalakkan.

"Kami percaya keindahan semulajadi pergunungan Himalaya dan Nepal yang kaya dengan warisan akan menarik pelancong memilih Kathmandu sebagai destinasi harus pergi," katanya dalam satu kenyataan.

MAS menawarkan tambang promosi pergi balik kelas ekonomi bermula RM1,299 untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Katmandu.

Pelanggan boleh membuat tempahan mulai sekarang hingga 19 Ogos untuk perjalanan mulai 1 September hingga 31 September.

Penerbangan MH170 akan berlepas dari Kuala Lumpur pada Selasa, Khamis dan Sabtu pada 8.55 pagi untuk tiba di Kathmandu pada 11.30 pagi.

Penerbangan balik dari Kathmandu pula akan berlepas pada 12.20 petang dan tiba di Kuala Lumpur pada 7.15 malam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Adun Pelagus Selamat

Artikel Lain