suria

Insiden Tembakan Di Pawagam AS: Penonton Filem Dijamin Tiada Perkara Buruk Berlaku

PETALING JAYA: Pihak pengurusan pawagan memberi jaminan kepada penonton filem bahawa terdapat langkah keselamatan yang mencukupi disediakan bagi menangani sebarang kejadian yang tidak diingini di premis mereka.

Sebagai reaksi kepada insiden tembakan di dewan pagawam yang dipenuhi penonton di Amerika Syarikat (AS), seorang jurucakap Golden Screen Cinemas (GSC) berkata, mereka mempunyai pasukan pengurusan krisis di mana akan bertindak apabila diarahkan oleh pengurus pawagam.

“Pusat membeli-belah juga mempunyai pasukan keselamatan mereka sendiri yang akan bekerjasama dengan kami,” katanya, sambil menambah adalah mustahil bagi insiden di AS pada Jumaat berlaku di Malaysia.

“Budaya di sini berbeza. Di sini, adalah salah memiliki senjata api dan senjata seperti itu tidak mudah didapati,” katanya pada Sabtu.

Seorang lelaki yang memakai sut penuh dengan helmet dan topeng gas pada Jumaat melepaskan tembakan pada tayangan tengah malam bagi filem “The Dark Knight Rises” di Aurora, Colorado, mengorbankan 12 orang selepas melepaskan dua bom asap dalam pawagam yang gelap.

Bersenjatakan sepucuk raifal tempur, senapang dan pistol, lelaki berpakaian hitam itu mencederakan 59 yang lain dalam kejadian amuk itu.

Pemeriksaan di beberapa pawagam menunjukkan insiden berkenaan tidak mempengaruhi penonton filem untuk beratur panjang mendapatkan tiket bagi menonton filem terbaru Batman.

Ketua Pegawai Eksekutif TGV Cinemas Sdn Bhd, Kenny Wong berkata, mereka telah mempertingkatkan keselamatan di pawagam di beberapa lokasi padat dengan pengunjung apabila mendapatkan petugas keselamatan tambahan untuk membuat rondaan di dewan pawagam dan ruang legar.

Beliau berkata, mereka telah mempertingkatkan keselamatan kira-kira enam bulan lalu bagi memerangi cetak rompak dan memantau penonton yang bersikap kurang sopan.

Wong berkata, pengawal turut ditempatkan di premis mereka bagi memastikan keselamatan penonton filem terutama pada filem-filem tengah malam.

“Kami mendapati dengan peningkatan keselamatan ini menjadikannya efektif dna kami berharap dapat memperluaskannya di semua pawagam kami seluruh negara,” kata beliau pada Sabtu.

Penolong Pengurus GSC Paradigm Mall, Desmond Dinesh, 30, berkata: “Pawagam kami dipenuhi penonton untuk setiap tayangan Batman. Setakat 3 petang semalam, termasuk (tiket) tayangan tengah malam hampir habis dijual.

Pelajar, Soon Jenn Jiunn, 21, berkata, walaupun insiden yang berlaku di AS itu agak menakutkan tetapi tidak menghalangnya untuk menonton filem di pawagam.

“Saya mungkin takut untuk pergi ke pawagam jika saya melawat AS, tetapi saya masih berasa selamat di sini,” katanya.

Artikel Berikut

Adun Pelagus Selamat

Artikel Lain