suria

Seorang Maut, Seorang Lagi Parah Dalam Nahas Libatkan Dua Kereta Di Gua Musang

KOTA BAHARU: Seorang peniaga maut dan seorang lagi cedera apabila kenderaan yang dipandu mereka bertembung di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dekat Kampung Lepan Tupai, Gua Musang, Sabtu.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Abdul Ghani Yaakob berkata peniaga, Hermang Ahmad, 49, dari Taman Tas, Kuantan, Pahang maut di tempat kejadian dalam kemalangan pada pukul 9.30 pagi itu.

Mangsa yang memandu Iswara Sedan yang sarat dengan buah-buahan dilaporkan dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Lipis, katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Pemandu sebuah kereta lagi, Azrul Nizam Omar, 20, yang beralamat di PPR Cochrance Perkasa, Jalan Nakhoda Yusoff, Kuala Lumpur cedera parah dan dimasukkan ke Hospital Gua Musang. Keadaan Azrul Naim dilaporkan stabil.

Azrul Nizam yang memandu kereta Toyota Vios sarat dengan barangan milik rakannya, seorang guru yang berpindah dari Sabah ke Kelantan, sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu apabila kemalangan itu berlaku, kata Abdul Ghani.

Abdul Ghani berkata tujuh anggota Bomba dan Penyelamat bersama sebuah jentera mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa daripada kenderaan masing-masing setelah bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.45 pagi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain