suria

Pecah Amanah: Eksekutif Jualan Dipenjara Dua Tahun

PETALING JAYA: Seorang eksekutif jualan sebuah syarikat menjual kereta dijatuhi hukuman penjara dua tahun dengan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini Jumaat, atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang syarikatnya bernilai RM6,550.

Hakim Suraiya Mustafa Kamal menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Abdul Razak Ahmad, 37, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Suraiya memerintahkan hukuman penjara terhadap Abdul Razak bermula dari hari ini. Abdul Razak didakwa dengan curangnya menyalahgunakan wang tunai RM6,550 yang dibayar oleh salah seorang pelanggan syarikat itu bernama Hasni Jaafar, 36, sebagai bayaran pendahuluan dan tempahan kereta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat menjual kereta itu di Syabas Gemilang Auto Sdn Bhd, 1G Jalan Dinar, E U3/E, Taman Subang Perdana, di sini, pada 27 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat atau denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Abdul Razak yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah supaya menangguhkan pelaksanaan hukuman itu kerana perlu manjaga anaknya tetapi Timbalan Pendakwa Raya Ching Kian Chun membantah permohonan tersebut kerana tiada alasan munasabah.

Perbicaraan bermula pada 9 Julai lepas manakala sebanyak tiga saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang perbicaraan dan tertuduh sebagai saksi pembelaan.

Mahkamah membenarkan permohonan Abdul Razak itu dengan meningkatkan wang jaminan dari RM2,300 kepada RM10,000. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain