suria

Muhyiddin Syor Konsep Kubur Dalam Taman Diperluaskan Ke Negeri Lain

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan konsep tanah perkuburan "Pusara Dalam Taman" dan E-Pusara di tanah perkuburan Islam moden Raudhatul Sakinah, yang terletak di Mukim Batu berhampiran Gombak, diperluaskan ke negeri-negeri lain.

Katanya konsep yang dimulakan di Raudhatul Sakinah ini merupakan satu tanda aras baharu dalam usaha umat Islam di Malaysia melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah dan ia mempunyai signifikan yang istimewa kerana tanah perkuburan ini begitu tersusun dan nyaman.

"Hari ini kita rasa bersyukur dengan inisiatif baharu yang bukan sahaja kawasan itu dilihat indah dan buat pertama kalinya dilengkapi dengan teknologi maklumat, ia juga mempunyai sistem pengurusan yang agak lengkap untuk urus jenazah dan ini adalah satu kelebihan yang tidak dapat dilihat di tempat lain," kata Muhyiddin semasa merasmikan Raudhatul Sakinah itu di sini, Jumaat.

Beliau berkata sudah tiba masanya konsep tanah kubur yang dilihat oleh umat Islam hari ini sebagai satu kawasan yang menakutkan perlu ditukar.

"Sebelum ini kita lihat suasana perkuburan kelihatan amat tidak terurus, nisan tumbang dan kalau waris yang datang untuk ziarah, sukar untuk mereka mencari tanah kubur.

"Saya sendiri ada pengalaman sendiri di mana saya terpaksa cari orang lama yang uruskan tanah kubur itu kerana rekod tidak disimpan dengan baik dan sebab itu sukar untuk waris menemui tanah perkuburan yang dimaksudkan," katanya.

Muhyiddin berkata beliau yakin selepas perasmian itu akan ada banyak pihak yang akan bertanyakan mengenai konsep tanah perkuburan Raudhatul Sakinah.

"Ini bermakna Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ada sesuatu yang boleh dipaternkan dan boleh dipasarkan ke tempat lain atau ke negeri lain melalui kerjasama dengan MAIWP," katanya.

Beliau berkata dengan adanya konsep baharu ini, masyarakat Islam boleh menguruskan tanah-tanah perkuburan di negara ini dengan lebih tersusun. "Saya berpendapat, inisiatif ini dapat ditingkatkan lagi di masa hadapan kerana pengalaman yang diperolehi oleh MAIWP adalah pengalaman yang baharu dan kalau dapat disebarkan, faedahnya dapat dinikmati oleh masyakarat Islam di tempat lain," katanya.

Katanya peningkatan yang diperolehi dalam pembangunan dan pengurusan tanah perkuburan umat Islam di Malaysia mampu dicapai kerana negara dipimpin pemimpin Islam yang tahu bagaimana untuk meningkatkan kemajuan umat Islam di negara ini.

Kemajuan umat Islam di Malaysia juga dibantu pencapaian ekonomi negara yang sangat tersusun dan keamanan yang sedang dikecapi oleh negara, katanya.

Tanah perkuburan Raudatul Sakinah terletak di dalam kawasan seluas 39.65 hektar telah dimajukan oleh MAIWP sejak 2008 dengan peruntukkan awal sebanyak RM5 juta untuk fasa pertama.

Tiga konsep utama tanah perkuburan ini meliputi 80 peratus tapak pengebumian, enam peratus kemudahan infrastruktur dan pengurusan, serta 14 peratus kawasan pejalan kaki dan dihiasi dengan pokok-pokok yang kurang penyelenggaraan serta berbau harum.

Daya tarikan utama tanah kubur moden ini ialah sistem E-Pusara yang menjadikan Raudhatul Sakinah sebagai sebuah tanah perkuburan pintar, aplikasi ini yang dipautkan kepada laman sesawang MAIWP bagi membolehkan pengguna mencari pusara dengan pantas, cepat dan tepat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain