suria

Geng Motor Bike Fendi Tumpas, 10 Kes Samun Selesai

KUALA LUMPUR: Polis menahan lima lelaki anggota Geng Motor Bike Fendi yang terlibat dalam kes langgar dan samun dalam lima serbuan berasingan di Cheras dan Ampang sejak dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata semua suspek warga tempatan berusia antara 25 hingga 47 tahun itu ditahan bersama barangan yang disamun yang dianggarkan bernilai RM50,000.

Beliau berkata penahanan suspek yang bergerak aktif secara berkumpulan di ibu negara sejak enam bulan lalu dibuat susulan kes langgar dan samun seorang peguam di Taman Danau Desa di sini pada 30 Jun lepas. "Modus operandi kumpulan ini ialah membabitkan tiga orang, di mana seorang daripadanya bertindak melanggar kereta mangsa dengan motosikal, menunggu mangsa keluar daripada kereta dan berpura-pura berbincang sebelum dua lagi rakannya datang menyamun," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Katanya serbuan tersebut turut membawa kepada penangkapan seorang lelaki berusia 21 tahun dipercayai sebagai orang tengah kepada kumpulan itu untuk urusan jualan barangan yang disamun.

Wan Abdul Bari berkata siasatan mendapati seorang suspek dikenali sebagai Fendi, yang dipercayai bertindak sebagai ketua kumpulan mempunyai rekod jenayah terbabit dalam satu kes bunuh dan samun. Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas sebilah parang, sebuah motosikal curi, 12 telefon bimbit, satu kamera digital, sembilan jam tangan berjenama, lima paket dadah dianggarkan seberat 762 gram disyaki ganja dan beberapa barangan lain.

"Dengan tertangkapnya mereka yang mengenali antara satu sama lain dan aktif ini, polis percaya sekaligus ia berjaya menyelesaikan 10 kes langgar dan samun yang berlaku di sekitar Brickfields sebelum ini," katanya.

Wan Abdul Bari berkata kesemua suspek ditahan reman bermula semalam hingga Rabu depan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain