PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar pada Jumaat mendedahkan terdapat penyelewengan dalam pembangunan lapangan terbang KLIA2 apabila mendakwa pembida yang gagal telah mendapat projek sistem kawalan udara.Beliau mendakwa, negara sebelum ini dikejutkan dengan isu masalah sistem radar yang dibangunkan oleh Selex Sistemi Integrati (Selex) dan Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (AAT) di Pusat Kawalan Trafik Udara Nasional (NATCC) di Subang. “PKR difahamkan bahawa salah satu syarikat tersebut telah mendapat projek di KLIA2 walaupun ia merupakan pembida yang kalah dalam satu sistem tender terbuka.“Walaupun laporan penilaian Aecom bertarikh 9 Disember 2011 telah mengiktiraf kebolehan syarikat AMP Corporation (M) Sdn Bhd (Amcop) untuk melaksanakan projek tersebut dengan baik dan telah menyarankan Amcop dipilih namun akhirnya projek ini telah diberikan kepada AAT,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.Aecom dilantik sebagai konsultan kepada Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) bagi projek KLIA2 dalam mengumpul maklumat, data dan laporan untuk memberi pendapat komprehensif terutama tiga aspek iaitu sistem kawalan udara, prosedur dan peralatan.Nurul Izzah yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, walaupun nilai bidaan AAT adalah lebih rendah daripada Amcop, kelulusan hanya diberikan sekiranya AAT menepati semua keperluan teknikal yang disenaraikan.Jelas beliau, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Perolehan MAHB juga jelas memberikan penilaian dan rekomendasi pada 15 Mac 2012.“Pemilihan AAT mengejutkan kerana sebelum ini AAT juga terjerumus dalam kontrovesi yang mengancam keberkesanan keselamatan sistem kawalan udara di Malaysia serta penumpang pengangkutan udara menerusi maklumat dalaman tentang senarai kecacatan dan kestabilan penyenggaraan sistem radar projek fasa dua (MIP-2) di Lapangan Terbang Subang,” katanya.Menurut Nurul Izzah, senarai kecacatan dalam sistem MIP-2 adalah menyamai masalah teknikal yang dihadapi oleh sistem kawalan trafik udara LEFCO keluaran Selex yang dibatalkan di Cyprus.“Kalau Parlimen Cyprus berani membatalkan projek, saya desak Kementerian Pengangkutan menjemput ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) untuk mengadakan audit ke atas sistem MIP-2 dan sekali gus melenyapkan tanda tanya terhadap keberkesanan sistem radar di Malaysia,” katanya.KLIA2 sebelum ini berhadapan dengan kontroversi apabila pemilihan tapak dengan permukaan tanah yang lembut dan tidak sesuai untuk membangunkan lapangan terbang.Selain itu, kontroversi berhubung kenaikan kos dari RM1.7 bilion kepada RM3.6 bilion dan penundaan tarikh siap pembinaan dari September 2011 ke April 2013.