suria

Rakyat Afrika Maut Terjatuh Dari Tingkat 13 Pangsapuri

SEREMBAN: Seorang lelaki rakyat Afrika ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 13, Pangsapuri Sri Palma, Mantin dekat sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Yusof Awang berkata mayat lelaki berusia 26 tahun itu ditemui di kaki lima pangsapuri berkenaan pada pukul 12 tengah hari.

"Hasil siasatan awal di rumah mangsa di tingkat 13 pangsapuri itu, polis menemui kesan tergelincir di luar koridor kediamannya.

"Terdapat buih-buih dipercayai hasil basuhan pakaian daripada sebuah mesin basuh yang diletakkan di luar koridor kediaman mangsa," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata berdasarkan penemuan pas pelajar dalam pangsapuri berkenaan, polis percaya lelaki itu adalah penuntut sebuah kolej berhampiran.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain