Polis Selesai Siasatan Insiden Inspektor Mengamuk Selasa Lalu - Semasa | mStar

Polis Selesai Siasatan Insiden Inspektor Mengamuk Selasa Lalu

SEREMBAN: Polis telah melengkapkan kertas siasatan kes seorang pegawai polis berpangkat inspektor yang mengamuk di Seremban 2 Selasa lepas sehingga mengakibatkan beberapa kenderaan rosak.

Kertas siasatan itu akan dikemukakan kepada pihak pendakwa raya dalam minggu ini untuk tindakan lanjut, kata Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Abd Manan Mohd Hassan kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, pegawai polis yang berusia 32 tahun yang telah berkeluarga itu ditahan reman selama dua hari mulai semalam dan dia kini dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam kejadian pada pukul 2.50 pagi itu, pegawai polis terbabit dikatakan ke hotel itu bersama rakannya dan difahamkan berlaku pertengkaran antara pegawai itu dengan dua pekerja hotel di kaunter lobi.

Kejadian itu turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan, katanya.

Abd Manan berkata, hasil siasatan mendapati pegawai polis yang telah 10 tahun berkhidmat dalam pasukan polis dan mempunyai masalah keluarga serta mungkin berada dalam keadaan tertekan.

"Semasa kami tahan pegawai itu, kami tidak menjumpai apa-apa senjata. Pegawai itu baru pulang daripada bercuti dan senjatanya telah diserah sebelum dia bercuti," katanya sambil memberitahu bahawa pegawai berkenaan ke hotel itu untuk berehat.

Beliau berkata, selain siasatan mengikut undang-undang, pihaknya juga akan menjalankan siasatan dalaman terhadap pegawai itu bagi tindakan tatatertib.

Ditanya sama ada pegawai itu dipengaruhi dadah semasa kejadian, Abd Manan berkata setakat ini ujian air kencing yang dijalankan adalah negatif.

Pegawai itu baru lapan bulan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban. Sebelum ini dia bertugas di Bahagian Jenayah Komersial Bukit Aman, Kuala Lumpur dan sepanjang tempoh perkhidmatan dalam pasukan polis, pegawai itu tidak mempunyai masalah disiplin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain