suria

PKR Bidas Polis Dakwa JI, Komunis Dalam Pembangkang

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Jumaat membidas dakwaan Risikan Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman mengenai pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan individu gerakan komunis cuba menjadi calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia merupakan satu kenyataan lama yang telah dikitar semula kononnya Pakatan Rakyat mempunyai kaitan dengan pengaruh komunis dan JI.

"Saya minta Cawangan Khas, (PDRM) Bukit Aman dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri) untuk menyatakan dengan jelas siapa ada maklumat calon-calon tersebut.

"Kita nak tahu. Tak payah hendak berselindung dengan kenyataan-kenyataan tak masuk akal. Jika mereka tiada nama, mereka kena minta maaf," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Jumaat.

Beliau mengulas mengenai dakwaan Risikan Cawangan Khas PDRM pada Khamis bahawa terdapat pengganas JI dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis berusaha meresapi parti politik pembangkang selain cuba menjadi calon dalam PRU akan datang.

Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia berkata, beliau kesal bagaimana pihak Cawangan Khas boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian yang nyata menjadikan mereka sebagai satu 'perkakas' politik kepada Barisan Nasional (BN).

"Mereka yang keluarkan kenyataan ini, saya nasihatkan sama ada mereka balik memainkan peranan sebagai anggota polis bagi membanteras masalah jenayah yang semakin serius di negara kita ataupun masuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang atas tiket Umno. Jadi jangan keliru peranan dia.

"Kita minta hentikan politik perang dingin, politik zaman lapuk yang sudah lapuk pada abad ke-21 sebab rakyat sudah tidak percaya benda-benda mengarut macam ni," tegas beliau.

Nik Nazmi mendakwa segelintir pihak yang menuduh itu adalah pihak berkuasa sendiri yang tidak pasti kesahihan dan kewibawaan maklumatnya.

"Segelintir mereka dituduh kerana menjadi anggota JI. Sama ada betul atau tidak itu isu yang lain. Kebanyakan mereka ditahan tanpa asas.

"Mereka dicop sebagai JI hanya kerana pergi belajar di Afghanistan, ada kawan-kawan yang dilihat pernah belajar di Afghanistan. Adalah tidak adil mengatakan kerana melihat mereka pernah bertemu, menjadikan tuduhan itu betul," katanya.

Beliau menyifatkan bahawa Cawangan Khas dan Biro Tata Negara (BTN) masih terperangkap dalam mentaliti perang dingin.

"Saya ingin mengingatkan mereka supaya mereka tidak sepatutnya bercakap mengenai isu seperti ini.

"Kita sekarang dalam abad ke-21. Ini adalah waktu untuk menunjukkan kematangan mereka dan bercerita mengenai pembangunan demokrasi negara. Itu lebih relevan," katanya.

Dilaporkan, Ketua Penolong Pengarah E2 (M), Bahagian Ekstremis Sosial Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin berkata, Cawangan Khas itu mengesan beberapa elemen JI cuba meresapi PAS selain elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP.

Mohd Sofian turut mendakwa bahawa beberapa pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan PKR juga sering berulang-alik ke Bangkok dan selatan Thailand yang dipercayai untuk mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) di sana.

Artikel Lain