suria

Mayat Lelaki Warga India Ditemui Di Sg Klang

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki warga India yang dilaporkan hilang sejak dua hari lepas ditemui hanyut di Sungai Klang, berhampiran Jalan Syed Putra di sini, Jumaat.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata mayat lelaki berpakaian lengkap itu ditemui orang ramai yang melalui jalan itu pukul 2.30 petang Jumaat.

"Hasil pemeriksaan di dalam poket seluar lelaki berumur 25 tahun itu, kita menemui pasport miliknya serta beberapa dokumen berkaitan pekerjaannya di negara ini. Dia dilaporkan hilang sejak dua hari lepas," katanya ketika dihubungi Bernama.

Wan Abdul Bari berkata pemeriksaan ke atas tubuh badannya juga mendapati tiada kesan kecederaan yang boleh mengaitkannya dengan sebarang unsur jenayah. "Bagaimanapun, kita akan mengetahui punca sebenar kematiannya selepas bedah siasat dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) esok," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain