suria

Islam Harus Dipromosikan Lebih Luas & Global - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Agama Islam perlu dipromosikan dalam konteks yang lebih luas dan global supaya kesuciannya tidak dilihat hanya bersifat etnik atau kemelayuan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata keadaan itu yang antara lain disebabkan kurang kefahaman tentang Islam perlu diubah segera supaya tembok pemisah yang wujud sekian lama dapat dirobohkan. "Dalam dunia dakwah, terutama kepada bukan Islam Cina, cara kita 'menjual' Islam ketika ini amat bersifat etnik atau kemelayuan dan kearaban.

"Justeru, sudah sampai masanya kita pecahkan tembok ini dengan membukakan minda agar kita menjual Islam dalam konteks yang lebih luas dan global," katanya ketika berucap melancarkan dua buah buku 'Masih Adakah Ketuanan Melayu?' dan 'Cabaran Saudara Baru di Malaysia' di Kementerian Pertahanan di sini, Jumaat.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin. Menyifatkan pemahaman yang cetek tentang Islam serta sering dipromosikan sebagai agama orang Melayu atau orang Arab, Ahmad Zahid berkata keadaan itu menyebabkan perkembangan Islam yang menjadi agama rasmi negara kepada kaum lain amat perlahan.

Beliau berkata keadaan itu menjadi lebih menyedihkan apabila nilai-nilai positif yang ada pada kaum bukan Islam lain gagal dipromosikan dalam kehidupan seharian bagi menarik minat mereka kepada agama Islam.

"Setakat ini, perkembangan dakwah Islamiah dalam kalangan bukan Islam, khususnya orang Cina di negara ini amat perlahan dengan tidak sampai satu peratus atau sekitar 60,000 daripada keseluruhan 6.5 juta yang memeluk Islam," katanya.

Mengenai saudara baru atau mualaf, Ahmad Zahid berkata mereka tidak perlu dihina sebagai golongan kelas kedua atau ketiga, sebaliknya perlu diangkat sebagai golongan istimewa yang perlu diberi perhatian yang boleh menjadi aset berharga kepada perkembangan Islam.

"Orang Melayu yang dahulunya beragama Hindu-Buddha, turut menjadi mualaf apabila mereka menerima Islam, justeru istilah mualaf janganlah dipandang hina kerana kita semua adalah generasi mualaf, jika kita menghina mualaf bermakna kita menghina diri sendiri," katanya.

Berhubung isu ketuanan Melayu yang sering dipersoalkan, Naib Presiden Umno itu berkata istilah itu masih lagi relevan jika digunakan pada tempat yang betul untuk meningkatkan taraf hidup orang Melayu tanpa menimbulkan rasa tidak puas hati kaum lain. "Orang bukan Melayu juga diharap tidak terlalu sensitif dengan istilah itu yang tentunya tidak ada kaitan dengan hubungan 'tuan dan hamba' kerana jika disalah gunakan ia bukan sahaja akan ditolak oleh orang bukan Melayu, bahkan orang Melayu sendiri juga akan melakukan perkara serupa," katanya.

Kedua-dua buku setebal 231 dan 255 muka surat karangan ahli akademik dan pensyarah bebas, Prof Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah itu kini boleh didapati di pasaran pada harga RM26.80 dan RM31 sebuah.

Buku 'Cabaran Saudara Baru di Malaysia' menceritakan pengalaman Mohd Ridhuan sebagai seorang mualaf dan cabaran berhadapan dengan masyarakat, diterbitkan bagi memperingati mendiang ibunya yang meninggal dunia tiga bulan lepas. -BERNAMA

Artikel Lain